BICARA TEKNIKAL. KENALI APA ITU 4WD DAN AWD
Pajero dan Mitsubishi Storm adalah dua nama yang sinonim bagi rakyat Malaysia bagi awal 90an kerana kedua dua kenderaan mendominasi kategori kenderaan pacuan empat roda yang lasak. Malahan saya sendiri teringat pada zaman kanak kanak, mesti akan ada rancangan yang disiarkan di televisyen berkenaan aktiviti mencabar meredah hutan dengan kenderaan pacuan empat roda.
Jadi tidak hairanlah mak, ayah, atok, dan pakcik kita lebih mengenali nama Pajero, Trooper, Storm dan juga Rocky bagi kenderaan lasak ini. Semuanya berjalan dengan indah sehinggalah Honda Malaysia datang mengacau daun dengan memperkenalkan Honda CRV sekitar tahun 1998.
Honda CRV pada ketika itu ditawarkan dengan keupayaan pacuan semua roda, namun ia tidak sama seperti dengan kenderaan pacuan empat roda seperti Toyota Hilux.
Pada masa ini, pasaran Malaysia hanya mengenali nama Suzuki Vitara berbanding dengan CRV. Jika dibandingkan Honda CRV dengan Mitsubishi Pajero atau Isuzu Trooper pada waktu itu, bentuk luaran kereta hampir sama kecuali Honda CRV nampak lebih kecil sedikit.
Di bahagian panel instrumen, Honda CRV nampak sama dengan Honda Accord lampu berlian ketika itu. Tetapi jika kita jenguk ke ruang kokpit Isuzu Trooper atau Mitsubishi Trooper, maka kita akan nampak kedua dua kereta terbabit akan dilengkapi dengan tombol DUA batang tombol gear.
Orang kampung penulis memanggil tombol terbabit sebagai “gear double”. Kalau ada gear ini kira hebatlah zaman tu
Tujuan penggunaan AWD dan 4WD
All Wheel Drive biasanya digunakan untuk kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak, kereta sedan sport, kereta kompak dan juga kereta sport berkuasa tinggi seperti Bugatti, Lamborghini, dan juga Porsche.
Tujuan penciptaan AWD ialah untuk memberikan cengkaman yang lebih kepada kenderaan terutama semasa dari keadaan statik kerana kesemua kuasa dan tork enjin akan dihantar kepada semua roda dengan efisyen.
Sistem AWD juga memberikan cengkaman yang lebih pada kenderaan ketika keadaan hujan atau bersalji, maka tidak hairan jika terdapat Passo atau Boon yang datang dengan sistem AWD.
Sistem 4WD pula banyak digunakan pada trak pikap, kenderaan lasak untuk kegunaan tentera dan pasukan keselamatan.
Sistem 4WD memberikan pilihan kepada pemandu untuk memilih samada menggunakan pacuan dua roda di jalan biasa, pacuan 4 roda untuk laluan “off road” dan juga menggandakan nilai tork untuk membantu kenderaan melepasi laluan sukar dan lumpur.
Perbezaan Chassis
Kalau dilihat dari mata kasar, terdapat perbezaan antara kenderaan AWD dan juga 4WD terutama dari segi pembinaan kerangka.
Umumnya kenderaan yang dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda atau All Wheel Drive ini dibina berdasarkan cesi atau platform sebuah kereta.
Plaftform yang dimaksudkan penulis ialah bahagian binaan lantai cesi dan hanya berbeza dari segi binaan kerangka atas ataupun “top hat”. Sebagai contoh, Honda CRV selalunya akan dibina berdasarkan platform monocoque Honda Civic sebagai asas platform namun berbeza dari segi rekaan struktur atas
Bagi kenderaan yang menggunakan aplikasi 4WD, biasanya ia menggunakan cesi “ladder frame” yang lebih kuat dan lasak sesuai dengan tujuan sebenar ia dicipta.
Sekiranya berpeluang, maka anda akan dapat lihat cesi “ladder frame” dari bahagian tepi terutama pada bahagian roda belakang. Sebagai contoh cesi Navara seperti dibawah, ruang kabin penumpang akan dipasang pada bahagian atas cesi
Kawalan Pemandu AWD vs 4WD
Bagi kenderaan dengan fungsi 4WD atau pacuan empat roda datang dengan kawalan pada pemandu untuk memilih samaada 2WD (pacuan roda belakang sahaja), 4H (pacuan semua roda High) atau 4L (pacuan semua roda Low).
Pilihan 2WD biasa digunakan untuk laluan bertar dimana cengkaman jalan adalah bagus dan ia pilihan yang baik bagi penjimatan bahan api. Sekiranya anda mula memasuki laluan tidak rata atau cengkaman permukaan jalan mula berkurang, pilihan 4H adalah lebih baik kerana ia menawarkan pacuan semua roda dan anda masih boleh bergerak dengan laju
Pilihan 4L hanya digunakan sekiranya anda perlu meredah lumpur atau tersangkut di dalam laluan sukar dimana tork yang tinggi amat diperlukan bagi menggerakkan kenderaan.
Satu dekad yang lalu pilihan 2WD, 4H dan 4L hanya boleh dibuat melalui tombol “lock differential” yang berada di sebelah tombol gear. Namun kenderaan 4WD kini membolehkan pemandu membuat pilihan dengan hanya menggunakan suis dan butang.
Bagi sistem yang menggunakan All Wheel Drive atau pacuan semua roda, sesetengah pengeluar membuat tetapan dengan membiarkan kuasa dan tork enjin dihantar pada roda belakang pada kebanyakan masa terutamanya jika dipandu di atas jalan berturap.
Tujuannya ialah kenderaan ini akan menggunakan bahan api yang rendah semasa pemanduan biasa.
Sesetengah pengeluar memilih untuk membiarkan sistem AWD terus aktif dan bertukar samaada ke AWD Low atau AWD H
Namun sekiranya sistem mendapati keadaan jalan telah berubah terutama pada jalan yang basah atau bersalji di negara 4 musim, sensor akan mengesan gelinciran tayar belakang dan menghantar kuasa pada mana mana tayar yang masih mempunyai cengkaman samaada belakang ataupun depan.
Perubahan tork yang dihantar kepada mana mana tayar ini dikawal sepenuhnya oleh sensor dan juga sistem komputer. Pemandu langsung tidak mempunyai keupayaan untuk menentukan bila dan tayar manakah yang akan mendapat dan jumlah tork yang akan dihantar pada tayar.
Perubahan tork yang dihantar kepada mana mana tayar ini dikawal sepenuhnya oleh sensor dan juga sistem komputer. Pemandu langsung tidak mempunyai keupayaan untuk menentukan bila dan tayar manakah yang akan mendapat dan jumlah tork yang akan dihantar pada tayar.
Komponen Mekanikal AWD vs 4WD
Secara asasnya, kedua dua sistem AWD dan 4WD menggunakan perkakasan yang hampir sama dalam sistem trenkuasa mereka.
Biasanya, enjin akan dipasang pada bahagian hadapan secara menegak, diikuti dengan sistem transmisi, sistem “rear differential” pada roda belakang yang akan disambungkan dengan propeller shaft dari kotak transmisi.
Perbezaan akan bermula dari sini di antara kedua – dua sistem kerana ia menggunakan mekanisme berbeza untuk mengagihkan kuasa dari enjin
Sistem AWD menggunakan Center Differential (Pengagihan Pusat) bagi mengagihkan kuasa antara tayar yang memiliki cengkaman dan tayar yang tergelicir.
Sistem 4WD pula menggunakan Transfer Case (Kotak Agihan) yang menerima input dari pemandu samaada memilih 2WD, 4H atau 4Lo.
Dalam mekanisme Center Differential, sensor yang dipasang pada roda akan mengesan sebarang perubahan cengkaman antara tayar dan juga permukaan jalan. Sebarang gelinciran akan dikesan oleh sensor, yang akan menghantar signal kepada sistem komputer Center Differential.
Komputer akan mengarahkan Center Differential ialah mengurangkan tork pada tayar yang mengalami gelinciran dan menghantar tork tersebut pada tayar yang memiliki cengkaman.
Dalam sistem 4WD, input kepada transfer case akan diberikan samaada mahukan sistem 2WD, atau 4H atau 4Lo yang beroperasi. Input ini dihantar daripada pemandu melalui pengaktifan tuil gear ataupun suis.
Namun untuk mengoperasikan sistem 4H di atas jalan berturap adalah agak bahaya kerana kesemua tayar akan berputar pada kelajuan yang sama, memberikan masalah ketika selekoh. Disebabkan semua roda telah dikunci pada transfer case, maka tayar boleh spin ketika selekoh dan hilang kawalan.
Mana satu yang sesuai?
Sekiranya anda hanya memandu di sekitar laluan bandar dan sesekali balik kampung untuk ke dusun durian, maka kenderaan AWD yang ada pada SUV kompak anda lebih sesuai.
Ia memberikan cengkaman yang lebih ketika hari hujan, meredah lopak air yang tidak mampu dilalui oleh kereta sedan biasa dan memberikan kawalan yang lebih ketika selekoh dan juga menukar laluan.
Namun jika anda merupakan usahawan atau kontraktor syarikat yang dipertanggungjawabkan mengorek bukit untuk laluan keretapi ECRL atau menukar papan tanda seperti KLIA ke Sepang International Airport, maka sistem 4WD yang ada pada trak pikap lebih sesuai.
- BACA: MANUAL VS AUTO, MANA LAGI BEST?
- BACA: LEBIH BANYAK GEAR LEBIH BAGUS?
- BACA: MEMAHAMI APA ITU EGR
- BACA: ENJIN SOHC & DOCH, MANA LEBIH BAGUS?
- BACA: VVT-iW, ENJIN GENIUS DARI TOYOTA
- BACA: 5 PETANDA ALTERNATOR HAMPIR ROSAK
- BACA: 6 TANDA SPARK PLUG PERLU DIGANTI
- BACA: PENYUNTIK BAHANAPI BESAR LAGI POWER?
- BACA: RAHSIA TENTANG MINYAK BREK (BRAKE FLUID)
- BACA: SEGALANYA TENTANG BREK ROTOR/DISC
- BACA: SEGALANYA TENTANG CALIPER BREK