Artikel Pilihan

DAIHATSU CHARADE – KENALI AYAHANDA MYVI INI

Sebelum kelahiran Daihatsu Sirion / Boon / Myvi, telah wujudnya tidak berapa lama dahulu sebuah kereta supermini yang diberi nama, Daihatsu Charade. Ianya adalah antara model popular bagi Daihatsu ketika ianya mula diproduksikan pada tahun 1977 sehinggalah kepada penamatan riwayat hidup Charade ini pada tahun 2000. Charade ini adalah pilihan kepada pemilik untuk upgrade selepas pemilikan kei-car, Mira.

BACA : DAIHATSU DETOMASO-YA, ORIGINAL DAN INI MEMANG RARE!

BACA : DAIHATSU CHARADE AURA

Generasi pertama Charade ini mula berada di pasaran Jepun pada tahun 1977 dengan pengenalan model lima pintu pada asalnya. Menggunakan enjin bersesaran 997cc tiga silinder, ianya sudah boleh dianggap berkuasa pada era itu dengan kuasa enjinnya mampu mencapai 50hp.

Pada tahun 1978 barulah model tiga pintu diperkenalkan kepada abah Tetsuya Harada di ketika itu. Entah abah beliau beli ke tidak, tidaklah pula Brader Karrager ketahui. Populariti Charade ini berterusan apabila ianya diangkat sebagai Car of The Year pada tahun 1979. Malah, populariti Charade ini turut diraih di luar negara seperti Chile dan beberapa negara Amerika Latin yang lain.

Bagi memastikan kesinambungan kejayaan Charade ini berterusan, generasi kedua pula diperkenalkan pada tahun 1983. Masih mengekalkan pengunaan enjin 1.0 liter yang terbukti ke-lemau-annya tetapi cukup menjimatkan penggunaan bahan bakar. Akan tetapi, apabila rakan kepada abah Tetsuya Harada telah membuat aduan tentang ke-lemau-an tersebut, maka Daihatsu telah memperkenalkan varian yang dilengkapi dengan pendesar turbo IHI yang bersaiz kecil pada enjin asal 1.0 tersebut. Intercooler pun tak ada pasang. Jadilah dapat kuasa sehingga 80hp.

Dan Charade generasi kedua ini turut dieksport ke pasaran luar Jepun termasuklah Amerika Latin dan beberapa negara luar lain yang cukup berkenan dengan model ini. Malah, model ini turut menjejakkan kaki di Selayang apabila makcik Brader Karrager pernah memilikinya suatu ketika dahulu dan turut meraih populariti walaupun generasi pertamanya turut pernah berada di tempat kita.

Daihatsu  turut bekerjasama dengan DeTomasa sewaktu Tokyo Auto Show 1985 apabila memperkenalkan enjin prototaip, 926R dengan tujuan utamanya bagi mengambil bahagian dalam perlumbaan WRC. Walau bagaimanapun projek baik ini terhenti apabila kategori Group B diharamkan ketika itu akibat kemalangan yang berlaku ketika itu. Iyalah, kereta kecil tapi dia punya pergi mengalahkan pelesit.

Generasi ketiga, Charade Aura pula diperkenalkan kepada pasaran antara tahun 1987 sehingga tahun 1993. Dan ianya terus mendapat sambutan hangat terutamanya di bandar. Dengan rupa yang masih lagi kelihatan comel, sudah tentulah pemiliknya lebih ramai kaum Hawa. Manakala, versi Charade GTi / GTxx pula sudah tentulah diminati oleh golongan Adam dan golongan acah-acah nak jadi Adam padahal waktu solat tetap kena pakai telekung juga.

Manakala generasi keempat pula berada di pasaran bermula tahun 1993 sehingga ke tahun 2000. Bagaikan mengerti bahawa ini adalah generasi terakhir, Charade kali ini mempunyai dimensi yang lebih besar daripada sebelumnya, selain daripada turut memiliki varian Sedan sebagai pilihan kepada pembeli. Dan sudah tentu, ini adalah Charade terbaik yang pernah dihasilkan oleh Daihatsu.

Dan yang paling penting, versi Charade DeTomasa yang menjadi igauan dan idaman. Dengan tiga pintu, enjin 1.6 liter, kotak gear manual 5 kelajuan, kit badan rekaan DeTomaso, seat Recaro, stereng Nardi, jelas tahap ke-sukan-an Charade ini tiada siapa yang berani pertikai. Dikhabarkan sejumlah 120,000 versi ini dikeluarkan. Cuma untuk versi eksport, ianya sudah ditala semula agar kuasanya dikurangkan. Tak bagi lawan tauke agaknya.

Walaupun Charade ini kini hanya tinggal sejarah, namun penggunaan namanya masih boleh dilihat apabila beberapa model moden Daihatsu/Toyota seperti Daihatsu Mira (Viva) dan juga Toyota Vitz yang dijelmakan di beberapa buah negara luar.

Google ads

B K

Back to top button