
MOTUL PERLUAS KERJASAMA TEKNIKAL BERSAMA MCLAREN RACING DALAM F1 DAN WEC
MOTUL terus mengukuhkan kedudukannya dalam arena sukan permotoran antarabangsa apabila memperluaskan kerjasama teknikal dengan McLaren Racing merangkumi Formula 1 dan Kejuaraan Endurance Dunia FIA (WEC).
Langkah itu menyaksikan teknologi pelincir berprestasi tinggi Motul digunakan secara lebih meluas dalam program perlumbaan McLaren, sekali gus memperkukuh hubungan yang telah terjalin sejak lebih sedekad menerusi pelbagai program GT3.
Bagi musim Formula 1 2026, Motul membekalkan pelincir khusus untuk sistem kotak gear dan differential jentera McLaren MCL40.
Selain itu, syarikat teknologi bendalir global itu turut dipilih untuk menyokong program Hypercar McLaren Racing dalam WEC bermula musim 2027 melalui bekalan pelincir enjin dan transmisi.

Kerjasama tersebut dibangunkan menerusi usaha penyelidikan bersama antara pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) Motul di Perancis dan Jepun dengan jurutera McLaren Racing selama sembilan bulan.
Sepanjang tempoh itu, lebih 40 siri ujian dijalankan meliputi analisis tribologi, keserasian bahan, pemilihan formulasi serta pengesahan akhir di McLaren Technology Centre di Woking, United Kingdom.
Hasilnya, satu formulasi pelincir khas berjaya dihasilkan bagi meningkatkan kecekapan mekanikal sistem transmisi sambil memastikan prestasi optimum dalam pelbagai keadaan perlumbaan Formula 1.
Ketua Pegawai Pemasaran Motul Asia Pasifik, Carlo Savoca berkata Formula 1 menyediakan platform terbaik untuk syarikat itu memperhalusi teknologi pelincir dalam persekitaran yang menuntut tahap ketepatan dan prestasi tertinggi.

Menurutnya, setiap sesi perlumbaan dan ujian memberikan data teknikal yang bernilai untuk membantu pembangunan teknologi pelincir generasi baharu.
“Kerjasama dengan McLaren Racing menyatukan dua organisasi yang berkongsi matlamat sama dalam aspek kecemerlangan kejuruteraan, inovasi dan pembangunan berterusan.
“Maklumat yang diperoleh daripada perlumbaan sepanjang musim Formula 1 2026, termasuk Grand Prix Singapura, akan membantu kami menghasilkan teknologi pelincir lebih maju pada masa hadapan,” katanya.
Selain Formula 1, Motul turut memainkan peranan penting dalam persiapan McLaren Racing untuk menyertai kategori Hypercar dalam WEC. Pengalaman luas syarikat itu dalam perlumbaan endurance menjadi antara faktor utama pemilihannya sebagai rakan teknikal.
Antara produk yang bakal menjadi asas kepada program berkenaan ialah rangkaian pelincir perlumbaan Motul 300V yang terkenal dalam kalangan pasukan perlumbaan endurance di seluruh dunia.
Bagi memperkukuh lagi sokongan teknikal, Motul akan menyediakan Racing Lab, iaitu makmal bergerak yang mampu menjalankan analisis bendalir secara terperinci. Kemudahan itu membolehkan pemantauan aspek seperti kehausan komponen, kestabilan terma, pengoksidaan dan pencairan bahan api bagi memastikan prestasi jentera sentiasa berada pada tahap optimum.
Motul mempunyai sejarah panjang dalam perlumbaan endurance sejak 1954 menerusi penglibatannya dalam perlumbaan 24 Hours of Le Mans. Jenama itu turut menjadi Rakan Pelincir Rasmi bagi FIA World Endurance Championship dan 24 Hours of Le Mans sejak 2016.
Selain Formula 1 dan WEC, Motul aktif dalam pelbagai kejohanan sukan permotoran bertaraf dunia termasuk MotoGP, Dakar Rally, MXGP dan EnduroGP.






