
KIA PANGGIL 410 RIBU KENDERAAN DI US AKIBAT MASALAH BEG UDARA
Lama sudah kita tidak mendengar isu panggil semula melibatkan beg udara setelah skandal melibatkan Takata beberapa tahun yang lalu.
Namun, di Amerika Syarikat Kia mengumumkan kempen panggil semula melibatkan 410,619 unit kenderaan disebabkan beg udara yang tidak meletus ketika insiden kemalangan.
Menurut agensi National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA), kempen ini melibatkan model Kia Forte Koup 2017, Kia Forte 2017-2018, serta model Kia Sedona (Carnival), Kia Soul dan Kia Soul EV tahun 2017-2019.
Kesemua model yang disebutkan itu dilengkapi dengan penutup unit kawalan beg udara (ACU) di mana ia mungkin bersentuhan dengan cip yang mampu merosakkan sambungan pematerian dan mengakibatkan sambungan litar terbuka.
Isu ini mula disedari buat kali pertama di Korea Selatan, dan Kia turut mendapati terdapat kira-kira 974 kes melibatkan tuntutan waranti dilaporkan di Amerika Syarikat.
Setakat ini, tiada sebarang kes kemalangan, kecederaan atau kematian melibatkan isu beg udara Kia.