Artikel Pilihan

LAGENDA MOTOGP – NORTON RCW588 BERENJIN ROTARI, 135 KUASA KUDA

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan mengupas tentang sebuah motosikal yang mungkin ramai tidak tahu kewujudannya, tetapi dia wujud. Apa yang penting, ia unik.

Motosikal yang dimaksudkan adalah Norton RCW588. Norton merupakan syarikat pengeluar motosikal yang berasal dari Birmingham, England. Syarikat ini antara syarikat motosikal tertua di dunia dimana ia mula menghasilkan motosikal sejak tahun 1898.

Model Norton RCW588 ini pula mula dibangunkan pada sekitar tahun 1987 sebagai motosikal perlumbaan. Ketika proses pembangunan, motosikal ini dikenali dengan kod RC588. Motosikal ini memulakan operasinya sebagai jentera perlumbaan bermula tahun 1988. Pada tahun 1989, namanya ditukar kepada Norton RCW588 selepas dilakukan penambahbaikan.

Apa yang menarik tentang motosikal ini adalah ia menggunakan enjin “Wankel” atau “Rotary”. Ketika itu, kebanyakan motosikal berkuasa tinggi menggunakan enjin 2 lejang dan ada sebahagiannya menggunakan enjin 4 lejang. Namun pihak Norton menongkah arus dengan menggunakan enjin “Rotary”.

Komposisi enjin ini merangkumi 2 unit rotor atau lebih dikenali sebagai “Twin Rotor” sejukan cecair berkapasiti 588cc. Enjin ini mampu menghamburkan kuasa sebanyak 135hp pada 9,800rpm dan daya kilas sekuat 105.6Nm pada 8,000rpm. Kuasa yang hebat ini kemudian dihantar ke set klac yang merangkumi 20 plat “Wet Clutch” dan seterusnya ke kotak gear 5 kelajuan “Constant Mesh”.

Berat keseluruhan jentera ini ialah 135kg sahaja. Sangat ringan sebenarnya jika diambil kira kuasa yang mampu dihamburkan oleh enjinnya. Kelajuan tertinggi yang direkodkan pula adalah sekitar 305km/h. Sangat laju ye Tuan-Tuan.

Walaupun motosikal ini mungkin tidak pernah diketahui kewujudannya, namun ia pernah bertanding dan memenangi kejohanan besar seperti FIM 500cc Grand Prix, Isle Of Man TT dan British Superbike Championship.

Pihak Fédération Internationale de Motocyclisme (FIM) pada tahun 1990 membenarkan pasukan Norton/JPS Racing dan Roton menggunakan jentera RCW588 yang berkapasiti 588cc bertanding di kejohanan 500cc Grand Prix 1991. Namun jentera ini tidak begitu menyerlah dimana pencapaian tertinggi ialah ketika di British Grand Prix.

Norton RCW588 yang ditunggangi Ron Haslam menduduki tempat ke 12 keseluruhan dan hanya mampu mengutip 4 mata. Zaman ini Valentino Rossi baru darjah 6. Mick Doohan pun baru nak naik(umur 26 tahun). Loris Capirossi dah dua kali juara dunia kelas 125cc.

Namun senario berbeza bagi motosikal ini di kejohanan Isle Of Man TT 1992 apabila jentera RCW588 yang ditunggangi Steve Hislop memenangi kejohanan Senior TT dengan purata kelajuan 121.8mph bersamaan dengan 196km/h. Rekod tertinggi pada zaman itu. Begitu juga di dalam kejohanan British Superbike Championship dimana jentera ini memenangi kejohanan pada tahun 1989 dan juga 1994.

Motosikal ini meneruskan legasinya dengan beberapa penambahbaikan dan seterusnya menjadi penanda aras kepada model selepasnya iaitu NRV588 dan juga CR700P.

Kenapa tidak diteruskan pembangunan enjin ini sehingga sekarang ? Hal ini kerana faktor ketahanannya dan juga kos penjagaan enjin ini yang tidak murah. Enjin ini perlu diselenggara setiap jarak perbatuan 100 batu atau 160km. Jika nasib tak baik, ia perlu dirombak rawat. Bayangkan sekiranya digunakan sekarang. Dari Johor Bahru hendak ke Melaka, singgah sebentar ke Tangkak untuk di “Overhaul” enjinnya.

Walaupun begitu, motosikal ini tetap menjadi lagenda di dalam lipatan sejarah. Bunyi yang dihasilkan motosikal ini juga kekal menjadi bunyi yang tergarang dan termerdu jika dibandingkan dengan enjin 2 lejang V4 milik Honda NSR500, Yamaha YZR500 dan Suzuki RGV500. Brap brap brap brap brap. Fuhhh.

Google ads
Back to top button