
BUELL HASILKAN CAFE RACER PALING BERKUASA DI DUNIA – ENJIN V-TWIN 1190CC, 173HP
Buell Motorcycle telah menghasilkan sebuah cafe racer dan dipamerkan di pusat pameran di Daytona, Amerika Syarikat.
Menurut Buell, cafe racer tersebut dibangunkan dari model Super Cruiser dan merupakan motosikal cafe racer paling berkuasa di dunia.

Ini kerana cafe racer berkenaan dikuasakan platform V-Twin 1,190cc yang sama terdapat pada Super Cruiser dan telah ditala semula bagi menghasilkan 173hp.
Berbeza dengan model Super Cruiser, versi cafe racer ini menampilkan handlebar jenis clip-on dan kedudukan menunggang yang lebih agresif.

Bagaimanapun, sebahagian besar komponen yang ada pada Buell Cafe Racer ini adalah yang sama terdapat pada model Super Cruiser termasuk cakera brek perimeter yang ikonik pada motosikal Buell.
Ini kerana ketika rata-rata cakera brek motosikal lain disambungkan kepada hub tayar, cakera brek bersaiz besar ini dipadankan pada bahagian luar rim.

Sementara itu, Buell turut menaik taraf bahagian suspensi kepada suspensi Öhlins dan menggantikan keseluruhan panel badan dengan bahan jenis gentian karbon. Kedudukan radiator juga berubah dengan meminjam radiator sisi dari model Hammerhead 1190.
Namun begitu, jurucakap Buell mengesahkan bahawa model Cafe Racer ini hanyalah model one-off buat masa ini dan tiada perancangan untuk mewujudkan model produksi.




