Buletin

STELLANTIS BAWA MASUK EUROREPAR KE MALAYSIA, SASAR KUKUHKAN RANGKAIAN SELEPAS JUALAN

Pasaran automotif Malaysia kini menerima satu lagi jenama antarabangsa dalam sektor selepas jualan apabila Stellantis mengumumkan kehadiran rasmi Eurorepar sempena penganjuran Automechanika Kuala Lumpur 2025.

Ini merupakan langkah sulung jenama berkenaan dalam mengetengahkan produk serta perkhidmatan mereka kepada pemain industri tempatan.

Eurorepar, yang telah bertapak sejak 2002, menawarkan pelbagai alat ganti kenderaan, daripada tayar, minyak pelincir, sehinggalah ke aksesori dan barangan habis guna.

Dengan lebih 17,000 variasi produk di bawah namanya, Eurorepar memberikan alternatif berkualiti tinggi kepada pengguna yang mencari keseimbangan antara prestasi dan kos.

Menariknya, jenama ini turut hadir dengan satu rangkaian bengkel pelbagai jenama dikenali sebagai Eurorepar Car Service.

Sejak mula beroperasi pada 2003, rangkaian ini telah berkembang ke lebih 30 buah negara, dengan lebih 6,500 pusat servis di seluruh dunia. Kini, Malaysia pula menjadi destinasi seterusnya dalam perluasan global ini.

Menurut Isaac Yeo, Pengarah Urusan Stellantis ASEAN, pelancaran Eurorepar di Malaysia bukan sekadar memperkenalkan alat ganti baharu, tetapi juga mewujudkan satu ekosistem servis yang mampu mengangkat standard bengkel bebas tempatan.

“Kami mahu menyediakan penyelesaian menyeluruh, dari alat ganti berkualiti hingga ke khidmat profesional kepada pengguna Malaysia,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa hab alat ganti serantau Stellantis di Zon Bebas Pelabuhan Klang akan memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran bekalan dan logistik bagi menyokong operasi Eurorepar di Malaysia.

Antara kekuatan utama Eurorepar ialah kemampuannya menawarkan produk aftermarket berkualiti yang disokong oleh jaminan selama dua tahun.

Pelanggan juga diberi pilihan untuk memilih antara alat ganti OEM atau komponen Eurorepar yang lebih mesra bajet, tanpa mengorbankan aspek kualiti dan ketahanan.

Kemasukan Eurorepar ke Malaysia dijangka akan memperkaya lagi landskap servis automotif negara dan memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna yang menitikberatkan kualiti, nilai serta kepakaran teknikal.

Google ads
Back to top button