Buletin

STELLANTIS MALAYSIA DAN PUBLIC BANK ANJUR KEMPEN ‘PAINT THE TOWN GREEN’

Dalam usaha ke arah masa depan mobiliti lebih hijau, Stellantis Malaysia kini berganding bahu dengan Public Bank menerusi penganjuran kempen ‘Paint the Town Green with EV Financing’.

Kolaborasi strategik ini bertujuan mempercepatkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia dengan menawarkan penyelesaian pembiayaan yang menarik dan berdaya saing.

Kempen ini hadir seiring dengan pertumbuhan positif pasaran EV di negara ini. Pada tahun 2024, Public Bank menguasai 29.1 peratus bahagian pasaran kenderaan elektrik baharu, dan angka tersebut melonjak kepada 33.5 peratus setakat Februari 2025.

Selari dengan komitmen terhadap kewangan mampan, institusi kewangan itu menyasarkan pelaburan sebanyak RM100 bilion menjelang 2030 untuk menyokong pelbagai inisiatif hijau, termasuk peralihan ke arah mobiliti elektrik.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, pelanggan yang ingin memiliki EV baharu seperti Leapmotor C10 boleh menikmati kadar faedah istimewa serendah 0.38 peratus setahun menerusi pembiayaan ditawarkan di bawah kempen ini.

Leapmotor C10 merupakan antara model yang ditampilkan dalam kempen ini – sebuah EV yang memenangi anugerah reka bentuk antarabangsa CMF dan French Design Awards.

Ia dilengkapi bateri Lithium-Iron Phosphate berkapasiti 69.9kWh serta motor elektrik berkuasa 214hp, menawarkan jarak pemanduan sehingga 424km (mengikut standard WLTP).

Penganjuran kempen ‘Paint the Town Green with EV Financing’ ini menandakan kesungguhan Stellantis Malaysia dan Public Bank dalam menyokong hala tuju negara ke arah pengangkutan lebih mesra alam.

Ketika rakyat Malaysia semakin terbuka menerima teknologi elektrik, usaha seperti ini dilihat mampu mempercepatkan perubahan ke arah landskap automotif yang lebih lestari.

Google ads
Back to top button