Buletin

MOTUL MALAYSIA UMUM KERJASAMA DENGAN PELUMBA MUDA, SOPHIA ZARA

Motul Malaysia mengumumkan kerjasama strategik bersama pelumba muda negara, Sophia Zara Binti Mustaffa Kamal, bagi menghadapi musim perlumbaan 2026 yang dijangka menjadi antara cabaran terbesar dalam kariernya setakat ini.

Kerjasama tersebut menyaksikan Motul terus memperkukuh komitmen dalam pembangunan bakat tempatan serta memperluaskan sokongan terhadap penyertaan wanita dalam arena sukan permotoran Malaysia.

Pada usia 17 tahun, Sophia Zara sudah mencipta nama sebagai antara prospek paling menyerlah dalam sukan permotoran tempatan apabila memegang tiga rekod dalam Malaysia Book of Records.

Rekod tersebut termasuk gelaran pelumba wanita termuda negara, pemenang podium wanita termuda perlumbaan endurance serta pemenang podium wanita termuda dalam perlumbaan touring car yang diiktiraf.

Beliau juga pernah muncul sebagai finalis berganda dalam Malaysia Association of Motorsport Awards 2025, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai pelumba muda yang sedang meningkat naik.

Pengurus Besar Motul Malaysia, Ravi Shankar berkata, Sophia memiliki ciri-ciri yang selari dengan identiti jenama itu, termasuk semangat juang tinggi, disiplin dan keinginan untuk bersaing di tahap tertinggi.

Menurut beliau, pencapaian Sophia dalam tempoh singkat membuktikan potensi besar yang dimilikinya untuk pergi lebih jauh dalam dunia perlumbaan.

“Selain berbakat di litar, Sophia juga menjadi inspirasi kepada ramai wanita muda di Malaysia. Kami berbangga dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan beliau dan membantu membentuk masa depan sukan permotoran negara,” katanya.

Sementara itu, Sophia menyifatkan sokongan daripada Motul sebagai satu penghargaan besar dalam perjalanan kariernya.

Katanya, kerjasama tersebut memberi keyakinan tambahan untuk menghadapi jadual perlumbaan yang lebih mencabar musim depan, selain membuka peluang lebih luas untuk beliau mengejar impian beraksi di pentas antarabangsa termasuk F1 Academy.

“Motul mempunyai sejarah dan reputasi besar dalam dunia permotoran. Sokongan mereka memberi motivasi kepada saya untuk terus berkembang dan membuktikan bahawa wanita juga mampu bersaing dalam sukan ini,” katanya.

Sepanjang kempen perlumbaan musim 2026, Sophia akan menggunakan minyak pelincir Motul 300V yang terkenal dalam dunia sukan permotoran.

Produk berasaskan teknologi ESTER Core® itu direka untuk memberikan prestasi enjin optimum serta ketahanan tinggi dalam situasi perlumbaan ekstrem.

Sophia dijadualkan bersaing dalam beberapa kejohanan utama termasuk Malaysia Touring Car Championship dan Toyota Gazoo Racing Malaysia.

Beliau turut dijangka menyertai beberapa pusingan Malaysia Speed Festival serta perlumbaan endurance Sepang 1000KM.

Google ads
Back to top button