
KIA ROMBAK OPERASI MALAYSIA, TAMATKAN PERANAN BERMAZ DAN LANTIK EMILY LEK SEBAGAI PENGARAH URUSAN
Kia Corporation mengesahkan bahawa kerjasama strategiknya dengan Bermaz Auto Berhad berakhir selepas empat tahun, sekali gus membuka laluan kepada jenama itu untuk kembali menguruskan operasi pasaran Malaysia secara langsung.
Sebelum ini, tugas pengedaran kenderaan baharu dan terpakai, termasuk penyediaan alat ganti Kia di Malaysia, dipertanggungjawabkan kepada Dinamikjaya Motors Sdn Bhd, anak syarikat Bermaz.
Dengan termeterainya perjanjian baharu antara Kia dan Dinamikjaya Motors, tanggungjawab tersebut kini diserahkan semula kepada pihak prinsipal.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kia Asia Pasifik, Ki Seok Ahn, langkah ini menandakan permulaan era baharu untuk jenama itu di negara ini.

Beliau berkata Kia komited memperkukuh kehadiran jenama melalui pendekatan berteraskan inovasi, pengalaman pelanggan dan mobiliti lestari, seiring dengan falsafah globalnya, Movement That Inspires.
Bermula 1 Januari 2026, Kia akan beralih kepada model operasi dikendalikan terus oleh prinsipal. Melalui pendekatan ini, Kia akan memimpin sepenuhnya aspek pemasaran, jualan, pengalaman pelanggan, latihan rangkaian serta perancangan strategik bagi pasaran Malaysia.
Langkah tersebut juga dilihat mampu mengukuhkan lagi kedudukan Kia di rantau ASEAN, dengan Malaysia dijadikan sebagai pasaran utama untuk pertumbuhan masa depan.
Antara perubahan yang bakal diperkenalkan di bawah model baharu ini termasuk penambahbaikan rangkaian pengedar, pelaburan lebih besar dalam kemudahan selepas jualan serta pelancaran model-model baharu.
Kia Sales Malaysia Sdn Bhd bakal diterajui oleh Hyung Ho Kim sebagai Presiden dan CEO bermula Januari 2026, manakala Emily Lek akan memegang jawatan Pengarah Urusan.
Kia menegaskan bahawa semua pemilik kenderaan Kia tidak perlu bimbang kerana perkhidmatan selepas jualan di pusat servis bertauliah akan terus beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh peralihan.
Tempahan kenderaan yang dibuat sebelum 30 November akan tetap dipenuhi. Namun, tempahan baharu ditangguhkan sementara dari 1 hingga 31 Disember 2025 bagi memberi ruang kepada proses peralihan. Tempahan semula akan dibuka mulai Januari 2026.
Dalam perkembangan berkaitan, bagi mengukuhkan semula hubungan dengan pelanggan, Kia akan melancarkan kempen jenama baharu yang menampilkan persoalan utama: ‘Kenapa Pilih Kia?’, sebagai usaha menjelaskan kelebihan dan nilai yang ditawarkan jenama tersebut kepada rakyat Malaysia.







