ISYTIHAR BUAT PPE, PEMILIK KILANG HELMET DIKOMPAUN RM10K. DIARAH TUTUP SERTA-MERTA
Pemilik kilang membuat topi keledar dikompaun sebanyak RM10,000 kerana mengisytihar premisnya yang terletak di Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang sebagai kilang peralatan perlindungan diri (PPE). Kilang itu kemudian diarah tutup serta-merta.
Dia didapati menjalankan perniagaan lain tidak seperti diisytiharkan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Kesalahan tersebut dikesan selepas sepasukan anggota polis bersama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) menjalankan operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) susulan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP).
Pemeriksaan ke atas 11 kilang di daerah Seberang Perai Utara (SPU) itu turut dibantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, semakan mendapati pemilik itu mengisytiharkan kilang terbabit menghasilkan PPE antaranya pakaian perubatan, pelitup muka dan sarung tangan getah.
Namun ketika diperiksa, kilang berkenaan menjalankan pembuatan topi keledar yang jelas menunjukkan pelanggaran SOP. Mengikut senarai MITI, pembuatan topi keledar bukan keperluan dan pemiliknya diarahkan menutup operasinya serta-merta selain dikompaun RM10,000.
Menurut Noorzainy, tindakan penutupan kilang itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Operasi yang dijalankan itu mendapati kebanyakan majikan mengambil maklum mengenai kehadiran 60 peratus pekerja sahaja dibenarkan.
“Pematuhan ini termasuk juga dengan kilang yang mengisytiharkan perkara lain, tetapi buat benda lain dan dia tetap melanggar SOP,” katanya.
Dalam operasi itu, JTK turut mengeluarkan notis kepada majikan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) kerana menyediakan penginapan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan. – Harian Metro
- BACA: PONTENG LATIHAN, RONALDO PERGI KILANG FERRARI. BELI MONZA SP1 BERHARGA RM8.16 JUTA
- BACA: PROTON MULAKAN PEMBINAAN KILANG STAMPING DI TG MALIM. PELABURAN RM200 JUTA, SIAP Q3 2022
- BACA: KILANG TAYAR SILVERSTONE DI PERAK AKAN DITUTUP?
- BACA: KILANG ENJIN DIESEL TERBESAR DI TREMERY KINI BUAT MOTOR ELEKTRIK. RIBUAN PEKERJA MUNGKIN TERJEJAS