ANDA BOLEH DIKENAKAN KOMPAUN HINGGA RM9000 JIKA MENGHALANG PETAK PENGECAS EV DI AUSTRALIA – BERAPI KAU MAHALNYA
Warga Australia menggunakan kereta dengan enjin pembakaran dalaman (ICE) tetapi memakirnya di petak khas untuk kenderaan EV boleh dikenakan denda yang sangat tinggi di sana. Sini kena RM300 pun dah kecoh.
Walaupun Australia agak ketinggalan berbanding negara lain dalam pasaran kenderaan EV, trend peningkatan semakin ketara khususnya dari segi kemudahan untuk kenderaan EV. Saman atau kompaun untuk salah guna petak EV boleh mencecah sehingga RM9000 di kawasan ibu negara Australia dan sedikit berbeza di wilayah lain tetapi masih dikira tinggi.
Kompaun bukan hanya dikenakan terhadap pengguna kenderaan ICE yang menyalahgunakan kemudahan tersebut tapi juga dikenakan kepada pemilik kenderaan EV yang meninggalkan kenderaan mereka di petak tersebut tanpa melakukan pengecasan. Alah macam tinggal kereta kat pam petrol tapi masuk beli barang runcit kat dalam.
Australian Electric Vehicle Association menyatakan yang denda tersebut seharusnya tinggi kerana ia bertujuan untuk mendidik orang ramai. Sama juga konsepnya di stesen minyak biasa. Mana boleh tinggal kenderaan di pan tanpa mengisi petrol kemudian melepak sambil minum kopi hipster.
Setiap pengecas EV adalah sangat berharga dan kritikal dengan pertambahan jumlah kenderaan EV di Australia. Memang ada yang tidak sengaja melakukannya tetapi dengan hukuman yang agak berat ini diharapkan mereka akan lebih berhati-hati sebelum melakukannya di masa akan datang.