Buletin

‘KUBUR’ EV CHINA – SISI GELAP PEMBUAT EV DEMI SUBSIDI KERAJAAN

Umum mengetahui bahawa China kini merupakan gergasi dalam segmen kenderaan elektrik tetapi menariknya, ada sisi gelap tidak dipaparkan oleh pembuat kereta di China.

Baru-baru ini, muncul sebuah video menunjukkan terdapat beribu-ribu kereta elektrik China dalam keadaan terbiar termasuklah model Geely Kandi K10 EV, Neta V dan BYD e3.

Kereta-kereta ini dilihat diletakkan di salah satu daerah Hangzhou, ibu kota Wilayah Zhejiang di timur China.

Pemandangan itu kelihatan menyeramkan kerana cat putih dicemari oleh lapisan habuk dan tayar yang sebahagiannya ditutupi oleh rumput walaupun di bahagian dalam, ia masih kelihatan baru. 

YouTuber Winston Sterzel, mendedahkan semula rakaman dron itu, mendakwa bahawa pembuat EV China mendaftarkan kereta tersebut sebagai bukti catatan angka jualan bagi mendapatkan subsidi daripada kerajaan.

The South China Morning Post dan The Atlantic melaporkan kejadian serupa pada 2018 di Shanghai, tetapi berkaitan dengan basikal.

The Atlantic melaporkan, selepas trend basikal mencapai kemuncaknya pada 2017 di China, bekalan telah jauh melebihi permintaan. Hasilnya ialah timbunan basikal lebihan berwarna terang sebesar gunung.

Berkenaan dengan kereta elektrik, jelas pembuat kereta elektrik ini tidak membuat penyelidikan sebaik mungkin atau mengambil jalan pintas demi subsidi kerajaan.

Sehingga kini, tiada perkhabaran sama ada sebarang tindakan diambil terhadap pembuat kereta.

Google ads
Back to top button