
CHINA EKSPORT LEBIH 900,000 KENDERAAN KE KOREA SELATAN – HYUNDAI, KIA TERCIDUK
China tidak lagi menoleh ke belakang dalam memastikan cengkamannya kekal kukuh dalam industri automotif apabila baru-baru ini, Korea Automobile Manufacturers Association (KAMA) mendedahkan China mengeksport lebih 900,000 kenderaan pada Q1.
Korea Automobile Manufacturers Association (KAMA) mendakwa bahawa China mengeksport 994,000 kenderaan pada Q1, terdiri daripada 826,000 kereta penumpang dan 168,000 kenderaan komersial.
Sebagai perbandingan, Jepun mengeksport 954,000 kenderaan sepanjang tiga bulan pertama 2023.

The Korea Times menyatakan, China mula mengeksport kenderaan lebih mahal dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menjadikan kenderaannya lebih menarik di negara-negara kaya di seluruh Eropah, serta negara seperti United Kingdom dan Australia.
Malah, purata harga eksport bagi setiap kereta China mencecah AS$16,400 (RM75,735) pada 2022, peningkatan ketara sebanyak 27 peratus, berbanding AS$12,900 (RM59,572) pada 2018.
“Walaupun China akan terus mengembangkan pasaran domestiknya, akhirnya, untuk menyelesaikan isu penawaran dan permintaan, ia tidak mempunyai pilihan selain untuk berkembang ke pasaran eksport memandangkan pasaran tempatan sudah tepu. Itulah sebabnya mereka memulakan usaha eksport,” kata Lee Hang-koo dari Institut Teknologi Automotif Korea.
Bukan hanya kenderaan daripada pembuat kereta China menyumbang kepada jumlah eksport, tetapi firma milik asing Tesla, Volvo dan Mercedes-Benz juga membina kereta di China untuk pasaran global.
Untuk rekod, Tesla mengeksport 270,000 kenderaan dari China tahun lepas, meletakkannya sebagai pengeksport kereta ketiga terbesar di negara itu.
Dalam pada masa, Lee Hang-koo percaya bahawa percambahan kereta baharu dari China akan mencabar Hyundai.
“Hyundai memberi tumpuan kepada pasaran baru muncul dan mengalami pertumbuhan tetapi baru-baru ini pasaran China jatuh,” katanya.
“Pasaran A.S. berjalan dengan baik, namun, kami sudah agak ketinggalan dalam pasaran Eropah. China terus memberi fokus kepada kedua-dua kenderaan enjin pembakaran dan elektrik menyebabkan syarikat Korea berada dalam kerugian.
“Hyundai mempunyai jenama Genesis, yang merupakan jenama kereta mewah, tetapi pada akhirnya, syarikat itu perlu bersaing dengan kedua-dua kenderaan enjin pembakaran dalaman dan EV dalam julat harga pertengahan hingga rendah.”
- BACA: KENDERAAN ELEKTRIK HYUNDAI-KIA AKAN DIPASANG BATERI BAHARU, TAWAR JARAK PEMANDUAN 1000KM
- BACA: ADA KERETA HYUNDAI/KIA TAHUN 2011-2019? ANDA MUNGKIN BOLEH DAPAT ENJIN PERCUMA
- BACA: HYUNDAI DAN KIA TERPAKSA SEDIAKAN PERUNTUKAN RM9.4 BILION, SELESAIKAN MASALAH ENJIN THETA GDI
- BACA: TERLALU MUDAH DICURI, BANDAR ST. LOUIS MAHU SAMAN HYUNDAI DAN KIA