
JENAMA LSEV CHINA, LETIN KINI MUFLIS – GAGAL BERSAING DENGAN PENGELUAR EV STANDARD
Pengeluar LSEV (kenderaan elektrik berkelajuan rendah) dari China, Letin, baru-baru ini diisytihar muflis setelah gagal bersaing dengan pengeluar EV standard. Malah beberapa faktor lain juga menyebabkan jenama di bawah Reading Automobile Group Co. itu terpaksa gulung tikar.
Sejak diasaskan pada 2008, Letin berjaya menjual 647,000 LSEV di China di antara tahun 2016 hingga 2018. Sebagai perbandingan, Tesla hanya mampu menjual 76,000 unit EV di seluruh dunia pada ketika itu.
LSEV ialah kenderaan bersaiz kecil yang bergantung pada sel asid plumbum atau bateri lithium untuk menjana kuasa dan mempunyai had kelajuan maksimum begitu rendah iaitu tidak melebihi 70km/j. Walaupun begitu, kereta LSEV sangat popular di kawasan luar bandar.

Cabaran sebenar Letin bermula pada 2018, apabila kerajaan China mengaplikasikan peraturan baharu, menghentikan pengeluaran LSEV.
Bagi mendapatkan permit, Letin memilih jalan lain iaitu merancang membina kenderaan ICE dan elektrik standard pada tahun 2019 bagi memastikan jenama berkenaan terus bernafas serta mampu bersaing.
Pada tahun yang sama, mereka memulakan pengeluaran EV bajet di bawah i-series iaitu i3, i5 dan i9. Ketiga-tiga model itu ditawarkan pada tanda harga bermula AS$7,185 (RM32,282) hingga AS$16,527 (RM74,255). Malangnya, keseluruhan siri i hanya terjual beberapa ribu unit sahaja sebelum pengeluarannya dihentikan pada 2020.
Tetapi, adakah Letin terus berputus asa? Jawapannya tidak.
Pada April 2021, mereka melancarkan Letin Mengo yang boleh dimiliki pada harga bermula AS$4,282 (RM19,239) – AS$7,889 (RM35,445) dan berjaya mencatat jualan lebih 30,000 unit.
Walau bagaimanapun, kekurangan pengalaman dalam pembuatan EV standard menyebabkan timbul beberapa masalah.
Selain itu, kenaikan harga litium serta bahan mentah lain juga menjadi antara punca syarikat mengalami masalah kewangan.
Sejak itu, Letin terus berhadapan dengan masalah kewangan dan pada tahun ini, Mahkamah Changle di wilayah Shandong mengisytiharkan syarikat itu sebagai muflis.
- BACA: 30 PERATUS BELIA MALAYSIA MUFLIS SEBAB LOAN KERETA – TINJAUAN UCSI
- BACA: SELEPAS JARI DIPOTONG DAN BAPA MUFLIS, KARIER SUPER KIP BERAKHIR. MAHU JADI PETANI, TANAM PISANG
- BACA: SYARIKAT PENERBANGAN TERBESAR AMERIKA LATIN MUFLIS. TANGGUNG HUTANG RM78.4 BILION
- BACA: NISSAN AKAN MUFLIS DALAM 2-3 TAHUN LAGI – CARLOS GHOSN