Artikel Pilihan

NAIK DENZA D9 DI SHENZEN CHINA. LAGI BEST DARIPADA ALPHARD?

Semasa lawatan ke ibu pejabat BYD di Shenzen China baru-baru ini, saya dan beberapa orang ramai media lain berpeluang untuk menaiki sebuah kenderaan yang cukup istimewa. 

Kenderaan tersebut ialah Denza D9 yang merupakan sebuah MPV mewah di bawah sub jenama BYD. Sebagai satu nama besar dalam industri automotif China, BYD mempunyai banyak sub jenama yang mensasarkan kepada audien berbeza. 

Sebagai contoh, BYD Ocean Series yang terdiri daripada model Atto 3, Dolphin dan Seal disasarkan kepada golongan muda. Dynasty Series yang merangkumi model-model EV serta PHEV seperti EV Han, Qin, Tang, Song dan Yuan pula diposisikan dalam pasaran sedan serta SUV mewah bersaiz sederhana dan besar. 

Tidak cukup dengan itu, BYD juga ada sub jenama YangWang yang tampil dengan SUV mewah U8 dan supercar U9. 

Berbalik kepada Denza. Untuk pasaran China, Denza disifatkan sebagai MPV yang mampu menggugat monopoli pasaran MPV mewah terutama Toyota Alphard dan Vellfire. Perkara itu nampaknya tidak mustahil berikutan sambutan hangat yang diterima. Malah, ia menjadi MPV paling laris di China pada masa sekarang apabila mencatat jualan lebih 10,000 unit sebulan. 

Di China, Denza dijual menerusi rangkaian bilik pameran yang berasingan daripada model Ocean Series dan Dynasty Series. Ini jelas menunjukkan keseriusan BYD dalam menguasai segmen MPV mewah bersaiz besar yang sebelum ini seperti tidak begitu diambil kisah oleh kebanyakan pengeluar kenderaan di China.

Denza D9 yang ditawarkan pada harga bermula 335,800 yuan (kira-kira RM216,823) hadir dalam dua pilihan rangkaian kuasa iaitu PHEV dan EV. 

Model yang kami naiki ini ialah versi PHEV dan  dipacu oleh enjin turbo 1.5 liter berkuasa 138hp dan tork 231Nm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan motor elektrik bersama tiga pilihan output kuasa iaitu 300hp, 345hp dan 406hp.

Melihat dari luar, rekaan Denza D9 memang nampak gah dengan gril krom yang besar. Apa yang pasti perkadaran rekaan bahagian hadapan, tepi dan belakang adalah cukup harmoni serta tidak nampak pelik.

Kami menaiki Denza D9 selama beberapa jam dalam perjalanan dari Pingshan Guest House ke bilik pameran BYD, Denza dan hotel Intercontinental Shenzen Dameisha Resort. Saya perlu akui bahawa duduk di captain seat di dalam MPV ini memang cukup selesa. 

Tempat duduk yang besar itu dibalut oleh kulit lembut berwarna beige. Ia juga lengkap dengan bantal untuk kepala dan bahagian belakang badan. Dah rasa macam duduk dalam kelas pertama peswat komersial. 

Tidak cukup dengan itu, anda boleh mengawal fungsi urutan dan mengubah suai kedudukan kerusi dengan menyentuh paparan skrin yang tersedia. Walaupun semua arahannya dalam bahasa Cina, namun ia tetap mudah untuk dioperasi. 

Satu lagi ciri menarik pada kerusi itu ialah slot pengecas tanpa wayar pada sebelah kiri. Anda hanya perlu masukkan telefon, berehat dan biarkan ia dicaj penuh apabila sampai di destinasi. 

Jangan bimbang jika perjalanan itu membosankan kerana di hadapan saya terletak sebuah skrin bersaiz 12.8 inci beresolusi tinggi. Sempat juga godek-godek, ia agak pantas dan responsif. Sistem audio MPV itu menggunakan khidmat daripada jenama Dynaaudio.  

Sebagai sebuah PHEV, perkara yang saya perasan ialah ruang kabin Denza D9 memang senyap. jarang sekali bunyi enjin, angin atau kenderaan lain masuk ke dalamnya. Ciri ini pasti akan sangat dihargai oleh bos-bos yang ingin berehat selepas penat bermesyuarat. 

Cuma, jika anda duduk di tempat duduk baris ketiga, olengan tubuh Denza D9 akan sedikit terasa. Ia mungkin tiada kesan untuk perjalanan singkat, tetapi kalau tempohnya lama, letih juga.   

Biarpun begitu, menaiki Denza D9 melalui lebuh raya, kesesakan jalan dan laluan bandar memberikan pengalaman yang menyenangkan. Ia selesa, luas, senyap dan terasa mewah. Tidak jauh beza dan ada kalanya rasa lebih baik berbanding pesaingnya yang lain.

Jadi, mungkin ada yang bertanya adakah MPV itu akan datang ke pasaran Malaysia. Saya rasa mungkin tidak, buat masa sekarang Denza D9 hanya hadir dalam bentuk pemanduan sebelah kiri. 

Seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini, BYD pernah mempamerkan MPV berkenaan pada acara Bangkok International Motor Show, Mac lalu. Namun, BYD mengesahkan bahawa ia tidak merancang untuk memperkenalkan Denza D9 di negara tersebut dalam masa terdekat.

GALERI

Google ads
Back to top button