" "
Buletin

LAMBAKAN KENDERAAN TERBIAR MENGHANTUI PENDUDUK FLAT, BERLARUTAN HAMPIR EMPAT DEKAD

Kes lambakan kenderaan terbiar sekitar flat di Lembah Klang nampaknya masih belum ditangani sebaik mungkin meskipun pihak berkuasa tempatan kerap melakukan operasi kenderaan usang.

Menurut laporan, terdapat lebih 20 kenderaan dipercayai tersadai di parkir flat Desa Mentari sehingga menyebabkan kekurangan tempat letak kereta.

Kesan lain dek kerana kenderaan terbiar ini termasuklah menyebabkan laluan keluar masuk menjadi semakin sempit.

Rata-rata penduduk mengakui keadaan itu sudah berlarutan hampir empat dekad dan sukar diselesaikan.

Salah seorang penduduk, Nor Hamizah Azmi, 34, mengakui mereka terpaksa ‘membutakan mata dan memekakkan telinga’ dengan situasi tersebut.

“Walaupun pihak berkuasa kerap menampal notis dan melakukan operasi menunda, ada penduduk dilihat masih berdegil selain tidak mengendahkan amaran diterima,” katanya.

Tambahnya, selain kereta, terdapat juga motosikal terbiar di parkir khas dan tidak dialihkan untuk tempoh lama.

“Kenderaan buruk ini mula memenuhi petak parkir sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 sehingga melimpah ke luar kawasan kediaman dan langsung tidak bergerak selama beberapa tahun.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebelum ini berkata bahawa pindaan Rang Undang-undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2018 di Dewan Rakyat akan memberi kuasa kepada PBT untuk melupuskan kenderaan terbiar.

“Tetapi sekarang, bilangannya kurang sedikit kerana pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kerap melakukan pembersihan.

“Kadang kala ada program yang perlu menggunakan kawasan parkir ini, jadi kenderaan terbiar itu akan ditunda MBPJ ke lokasi lain,” ujarnya.

Jelas Nor Hamizah yang membesar di perumahan itu, terdapat juga penghuni perumahan berhampiran meninggalkan kenderaan rosak di lot parkir flat berkenaan.

“Sebenarnya lot parkir ini khusus untuk penduduk flat sahaja tetapi penghuni rumah teres berhampiran pun sering meletak kenderaan di sini.

“Sebab itu pihak pengurusan sudah membina pagar di sekeliling parkir flat ini, baru kurang sedikit kenderaan dari kawasan kediaman lain,” tambahnya.

Seorang peniaga, Silahhuddin Jalani, 51, penyelesaian terbaik adalah dengan melupuskan kenderaan terbengkalai ini, namun pada masa sama tiada jaminan keadaan ini tidak akan berterusan sekiranya mentaliti masyarakat tidak mahu berubah.

“Pihak pengurusan memang tahu kewujudan kereta atau motosikal yang tersadai ini, nombor pendaftaran kenderaan terbiar pun ada dan sudah dilaporkan kepada MBPJ.

“Cuma MBPJ tidak datang ambil (kenderaan tersadai) sepenuhnya. Ada yang mereka ambil, tetapi sebahagian sahaja,” ulasnya. – Sinar Harian

Google ads
Back to top button