Buletin

MPK SITA BOT PARKING DEPAN RUMAH DI KUANTAN

Tindakan seorang pemilik bot yang meletakkan kenderaan itu di hadapan rumah mengundang padah apabila Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) menyita bot terbabit di sebuah taman perumahan di Kuantan, hari ini.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal berkata tindakan itu diambil selepas pemilik kenderaan itu gagal mengalihkan bot terbabit.

Sebelum tindakan itu dilaksanakan, pihaknya sudah menasihati dan mengeluarkan notis supaya pemilik terbabit mengalihkan bot itu berdasarkan tempoh yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, kegagalan berbuat demikian menyebabkan MBK mengambil tindakan menyita bot terbabit yang diletakkan di hadapan rumah, hari ini.

“Tindakan itu juga susulan daripada aduan daripada penduduk taman perumahan itu yang berasa tidak selesa dengan adanya bot terbabit sejak bulan lalu. Bukan saja mencetuskan ketidakselesaan penduduk, malah ia juga menyebabkan halangan,” katanya ketika dihubungi.

Demi keselamatan orang ramai, MBK bertindak mengalihkan bot terbabit mengikut Seksyen 46 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Kegagalan pemilik bot untuk menuntut kenderaan itu akan menyebabkan jumlah denda akan bertambah dalam tempoh sehari. Kos RM100 sehari akan dikenakan terhadap pemilik dan sekiranya gagal menuntutnya, jumlah itu akan bertambah. – Harian Metro

Google ads
Back to top button