
LANGSAI HUTANG KERETA ‘LUMP SUM’ KINI LEBIH JIMAT
Peminjam kenderaan di Malaysia bakal menikmati penjimatan lebih besar apabila membuat penyelesaian awal pinjaman berikutan langkah kerajaan memansuhkan kaedah ‘Rule of 78’ (Peraturan 78) yang sekian lama dilihat tidak adil kepada pengguna.
Pemansuhan kaedah itu, yang terkandung dalam Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Akta Sewa Beli 2025, akan menghapuskan sistem kadar faedah ‘flat-rate’ (kadar tetap) yang diguna pakai sekarang.
Ia akan digantikan dengan sistem ‘baki berkurangan’ (reducing-balance) yang lebih telus.
Menurut laporan analisis oleh BIMB Securities Research, sistem lama itu ‘membebankan faedah di hadapan’ (front-loading).

Ini bermakna peminjam membayar sebahagian besar faedah pada peringkat awal pinjaman.
Akibatnya, peminjam yang berusaha melangsaikan hutang kereta mereka lebih awal, atau ‘lump sum’, mendapat sedikit sahaja manfaat atau penjimatan daripada tindakan itu.
Kaedah itu juga secara tidak langsung menggalakkan peminjam mengambil tempoh pinjaman yang lebih panjang.
Sistem baki berkurangan yang baharu ini dianggap lebih adil kerana peminjam kini hanya akan membayar faedah ke atas baki pinjaman yang masih tinggal.
Bahagian penyelidikan itu berkata ini adalah sistem yang lebih saksama dan telus.
BIMB Securities Research dalam notanya menjelaskan bahawa rangka kerja baharu ini “menawarkan penjimatan ketara bagi peminjam yang memilih tempoh lebih pendek atau membuat pembayaran awal”.
Ia juga meningkatkan ketelusan harga kerana pendedahan Kadar Faedah Efektif (EIR) kini diwajibkan.Walaupun ia berita baik untuk pengguna, bank dijangka akan bertindak balas.
Penganalisis menjangkakan margin keuntungan bank mungkin “mengecil sedikit” di bawah sistem baharu. Bank mungkin akan mula “memerlukan bayaran pendahuluan (down-payment) yang lebih tinggi”.
Perubahan ini juga dijangka mengubah corak pembelian kereta.
Penganalisis tidak menjangkakan jualan keseluruhan akan merosot , tetapi meramalkan pengguna akan “bertukar kepada model-model bernilai lebih rendah”.
Ini dijangka menguntungkan jenama nasional seperti Proton dan Perodua yang menguasai segmen nilai itu.
Pindaan akta ini akan memberi kesan kepada semua bank, terutamanya yang mempunyai pendedahan besar.
Data BIMB Securities menunjukkan Public Bank Bhd mempunyai pendedahan terbesar (18.3 peratus), diikuti Maybank Bhd (13.0 peratus) dan Hong Leong Bhd (11.7 peratus).
Persoalan kini timbul sama ada peraturan lebih adil ini akan diperluaskan. Laporan itu membangkitkan kemungkinan ia boleh diperluaskan ke segmen pinjaman peribadi , yang kebanyakannya turut menggunakan struktur faedah ‘flat-rate’ yang serupa.
Bank Negara Malaysia telah memberikan tempoh peralihan selama 18 bulan kepada institusi kewangan untuk menyesuaikan diri sepenuhnya.
BIMB Securities meramalkan bank-bank akan “menyesuaikan diri dengan cepat” tanpa kesan besar kepada keuntungan akhir mereka.Rule of 78, Akta Sewa Beli, Pinjaman Kereta, Baki Berkurangan, BIMB Securities Research, Faedah, Penyelesaian Awal, Pindaan 2025, Public Bank, Maybank. – Berita Harian
- BACA: FORD RACING RANCANG KEJUTAN BESAR – ‘KERETA MISTERI’ 1,000HP BAKAL DIDEDAHKAN JANUARI INI!
- BACA: PROTON e.MAS 7 CATAT 7,413 UNIT TERJUAL, e.MAS 5 TERIMA 10,000 TEMPAHAN
- BACA: QJMOTOR CURI TUMPUAN DI EICMA DENGAN FORT 600 – 53HP, 54NM
- BACA: KERETA ELEKTRIK PERODUA DILANCAR AKHIR BULAN INI, JADI AGENDA NASIONAL – PMX








