
PENGEDAR KEJAR HABISKAN STOK EV SEBELUM INSENTIF BERAKHIR
Pengedar kenderaan di Malaysia kini berlumba-lumba menghabiskan stok kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya (CBU) sebelum tarikh akhir pengecualian cukai kerajaan berakhir pada 31 Disember 2025.
Selepas tarikh tersebut, model EV yang diimport sepenuhnya tidak lagi menikmati pengecualian duti import dan eksais sepenuhnya seperti yang diperkenalkan sejak 2022. Langkah itu telah membantu menurunkan harga EV dengan ketara dan merangsang kadar pemilikan kenderaan elektrik di negara ini.
Kini, menjelang tamatnya tempoh insentif tersebut, pengedar dan pengeluar dilihat menawarkan diskaun besar serta pakej promosi menarik bagi menarik pembeli baharu. Mereka bimbang harga EV import boleh meningkat antara 30 hingga 100 peratus apabila cukai kembali dikenakan – bergantung kepada model dan julat harga.
Antara jenama yang terlibat, BYD menawarkan potongan sehingga RM26,000 bagi model seperti Sealion 7 dan Atto 3 Ultra, selain pakej servis percuma selama lapan tahun.

Sementara itu, Smart Malaysia memberikan rebat hingga RM35,000 bagi model #1 Brabus, manakala model yang diagihkan oleh EON turut disertakan pemasangan pengecas percuma bernilai RM5,488.
Bagi Honda e:N1, potongan sebanyak RM34,000 menurunkan harga jualan kepada sekitar RM115,900.
Menurut perunding jualan BYD, Dell Zhafry Fuad, pihak pengeluar dijangka memperhebat promosi menjelang hujung tahun bagi membersihkan stok semasa.
“Akan ada lebih banyak acara jualan dan promosi agresif di bilik pameran kerana semua pengedar mahu habiskan stok sebelum cukai kembali,” katanya.
Dell menambah bahawa walaupun pasaran EV mungkin perlahan sedikit selepas insentif tamat, minat pengguna terhadap kenderaan elektrik kini sudah kukuh dan dijangka terus berkembang dengan momentum stabil.

Penganalisis automotif dan editor Electronikar, Shamsul Yunos, menjelaskan bahawa pengecualian semasa meliputi duti import serta eksais bagi kenderaan elektrik yang diimport sepenuhnya.
“Kenderaan yang dibawa masuk sebelum tarikh akhir masih layak menikmati pengecualian cukai. Jadi kita boleh jangka pengeluar akan mempercepatkan import sebelum hujung tahun untuk membina stok bagi 2026,” katanya.
Tambah beliau, beberapa pengeluar besar dari China seperti Chery, Great Wall Motor (GWM) dan BYD telah pun komited untuk pemasangan tempatan (CKD).
GWM sudah memulakan operasi pemasangan di Malaysia, manakala Chery dan BYD kini dalam proses membina kilang masing-masing di Bukit Beruntung, Selangor dan Tanjung Malim, Perak.
Jenama lain seperti Xpeng dan MG juga dilaporkan berminat melabur dalam program CKD tempatan.
Menurut Shamsul, pelaburan tempatan menunjukkan keyakinan terhadap pasaran Malaysia, namun cabarannya ialah sejauh mana rantaian bekalan tempatan dapat menyesuaikan diri dengan keperluan industri EV.
Sementara itu, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menzahirkan kebimbangan terhadap tamatnya pengecualian cukai tersebut, kerana ia berpotensi melambatkan kadar penggunaan EV di Malaysia yang masih berada pada fasa awal.
MAA menyeru kerajaan mengekalkan struktur insentif seimbang yang terus menyokong EV import dan pemasangan tempatan, sekurang-kurangnya sehingga infrastruktur pengecasan dan keyakinan pengguna benar-benar matang. – NST







