
MALAYSIA TERAJUI SEGMEN BERNILAI TINGGI DALAM EKOSISTEM EV DUNIA
Malaysia berada dalam kedudukan kukuh bagi segmen bernilai tinggi dalam ekosistem kenderaan elektrik (EV) dengan kehadiran syarikat peneraju global berkaitan semikonduktor, meningkatkan keupayaan semikonduktor tempatan, demikian menurut penganalisis.
BIMB Securities Research berkata, syarikat peneraju global seperti Infineon Technologies dan Texas Instruments membuat pelaburan yang besar dalam pembuatan semikonduktor kuasa dan analog/cip terbenam di Malaysia, yang menjadi komponen kritikal untuk pengurusan kuasa EV, sistem bateri dan kawalan pemanduan.
Menurutnya, Infineon membina kilang 200mm Silicon Carbide (SiC) Power Fab AS$7.6 bilion di Kulim, Kedah, yang bakal menjadi terbesar di dunia seumpamanya, menumpukan pada aplikasi EV.
Katanya, Texas Instruments pula melabur RM14.6 bilion untuk mengembangkan kemudahan pemasangan dan ujian di Kuala Lumpur serta Melaka, mengukuhkan lagi peranan Malaysia dalam rantaian nilai semikonduktor global.
“Perkembangan ini bukan saja memperkukuh industri semikonduktor negara tetapi juga meletakkan Malaysia lebih kukuh dalam segmen bernilai tinggi ekosistem EV,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Mengulas lanjut, BIMB Securities Research berkata, dengan pengeluaran cip berkaitan EV secara tempatan, firma multinasional mencipta peluang untuk pembekal, syarikat permulaan dan penyedia perkhidmatan tempatan untuk disepadukan ke dalam rantaian bekalan.
Justeru, katanya, kesan kluster industri itu boleh menarik pengilang EV, pengeluar bateri dan pembekal automotif Tahap 1, membantu mewujudkan koridor mobiliti hijau yang rancak di Asia Tenggara.
Sementara itu, BIMB Securities Research berkata, pasaran EV Malaysia telah mengalami pertumbuhan pesat sejak 2021, yang mana negara ini mempunyai pangkalan pembuatan automotif yang maju dengan 27 pemasang kenderaan.
Menurutnya, ia termasuk pengeluar tempatan iaitu PROTON dan PERODUA serta jenama asing seperti Honda, Toyota dan Mercedes-Benz.
Katanya, sektor automotif Malaysia menyumbang RM40 bilion setahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menggaji lebih 700,000 pekerja.
Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jualan EV melonjak daripada 278 unit pada 2021 kepada 2,631 pada 2022, dan kemudian 10,159 pada 2023, mewakili pertumbuhan besar dan bukannya setakat kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sederhana.
“Awal tahun 2024 menyaksikan bilangan pendaftaran EV semakin meningkat, dengan EV Bateri (BEV) mencecah kira-kira 14,766 unit.
“Namun, walaupun dengan momentum ini, EV masih menyumbang hanya kira-kira satu hingga dua peratus daripada jumlah pendaftaran kenderaan baharu (kira-kira lima peratus termasuk hibrid) pada 2023,” katanya.
Menurut tinjauan pengguna Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) pada tahun 2023, 58 peratus daripada responden lebih memilih kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE).
Halangan kepada penggunaan EV termasuklah kos permulaan yang tinggi.
Walaupun terdapat pengecualian cukai, EV masih lebih mahal berbanding kenderaan ICE setara disebabkan oleh kos bateri dan pengeluaran tempatan yang terhad.
Halangan lain termasuk kebimbangan terhadap jarak perjalanan dan akses kepada pengecas, serta kebimbangan terhadap nilai jualan semula dan jangka hayat bateri, di mana pasaran EV terpakai masih belum berkembang.
Namun begitu, kesedaran yang semakin meningkat terhadap isu ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) serta kenaikan harga bahan api telah mula mendorong pengguna ke arah pilihan yang lebih mesra alam, terutamanya di kawasan bandar. – Berita Harian
- BACA: SUPRA & TYPE R FL5 MANUAL GUNA EPB? BOLEH DRIFT KE?
- BACA: SIME MOTORS SAMBUT 45 TAHUN DENGAN GEMA ORKESTRA FILHARMONIK MALAYSIA
- BACA: VOLVO CAR MALAYSIA UMUM BARISAN MODEL 2026 – XC60 FACELIFT, EC40 SINGLE MOTOR, XC90 DENGAN WARNA BAHARU AURORA SILVER
- BACA: AESON POWER LANCAR BATERI AUTOMOTIF SODIUM-ION TERBAHARU UNTUK PASARAN MALAYSIA







