Buletin

RX MORIZO RR BAKAL JADI ‘MONSTER’ BAHARU LEXUS?

Lexus dilihat sedang menguji sebuah prototaip misteri RX berprestasi tinggi – dipercayai bakal membawa lencana Morizo RR, sekali gus memberi petunjuk bahawa SUV mewah itu mungkin sedang dipersiapkan untuk memasuki segmen prestasi yang kini dikuasai model seperti BMW X5 M dan Audi RS Q8.

Imej intipan terbaru yang dirakam di Eropah menunjukkan sebuah Lexus RX dengan beberapa perubahan ketara pada rekaan luaran dan komponen casis. Walaupun hanya dilitupi penyamaran ringan, SUV itu menampilkan beberapa elemen yang tidak terdapat pada varian RX sedia ada.

Bahagian hadapan menerima bukaan udara yang lebih besar mirip RX 500h F Sport Performance, namun dipadankan dengan lengkungan roda lebih lebar. Di belakang pula, bampar direka semula dengan potongan khas untuk sistem ekzos berkembar.

SUV berkenaan turut menggunakan rim aloi 21-inci yang menempatkan cakera brek berlubang bersaiz besar serta angkup brek Brembo berwarna merah. Ia dipadankan dengan tayar Michelin Pilot Sport 4 SUV bersaiz 265/40 ZR21 di hadapan dan 295/35 ZR21 di belakang.

Selain itu, kedudukan badan yang lebih rendah, trek roda yang lebih lebar dan talaan suspensi lebih agresif memberi gambaran jelas bahawa model ini dibangunkan dengan fokus kepada prestasi pemanduan.

Laporan media Jepun sebelum ini mendakwa Lexus sedang membangunkan varian RX Morizo RR sebagai model prestasi tertinggi dalam keluarga RX.

Ia dikatakan bakal menggunakan sistem hibrid pacuan semua roda (AWD) yang menggabungkan enjin turbo empat silinder 2.0 liter generasi baharu Toyota bersama dua motor elektrik.

Gabungan tersebut dikhabarkan mampu menghasilkan sekitar 600 kuasa kuda, angka yang meletakkannya sebaris dengan beberapa SUV prestasi tinggi paling berkuasa di pasaran ketika ini.

Sekiranya laporan itu tepat, RX Morizo RR berpotensi menjadi antara model paling berkuasa pernah ditawarkan Lexus, selain memperluaskan lagi penggunaan teknologi dan kepakaran Gazoo Racing dalam rangkaian produk jenama premium tersebut.

Pelancaran rasmi model itu dijangka berlangsung sekitar 2028, namun Lexus masih belum mengesahkan sebarang perancangan berkaitan.

Pada masa sama, kemunculan prototaip ini turut menguatkan spekulasi bahawa RX bakal menerima kemas kini pertengahan hayat dalam tempoh terdekat, termasuk sistem infotainmen yang lebih besar serta beberapa sentuhan rekaan baharu.

Google ads
Back to top button