Buletin

TOYOTA GAZOO RACING DAN LEXUS DEDAH TIGA MODEL IKONIK BAHARU

Toyota sekali lagi mencuri tumpuan dunia automotif apabila TOYOTA GAZOO Racing (TGR) dan Lexus bergandingan mendedahkan tiga model sports berprestasi tinggi – GR GT, GR GT3, dan Lexus LFA Concept.

Ketiga-tiganya tampil sebagai pewaris baharu kepada legenda seperti Toyota 2000GT dan Lexus LFA, mencerminkan usaha Toyota memelihara kemahiran pembuatan kereta yang menjadi tunjang identiti jenama itu.

Walaupun dibentuk dengan falsafah moden dan teknologi generasi seterusnya, model-model ini turut membawa semangat “Shikinen Sengu” – tradisi Jepun yang melibatkan pembinaan semula kuil setiap beberapa dekad bagi memastikan warisan pertukangan halus terus hidup.

Dalam konteks automotif Toyota, pendekatan ini diterjemahkan melalui usaha memindahkan kepakaran penting kepada jurutera muda sambil memperkenalkan teknologi baharu yang lebih maju.

GR GT – Flagship Baharu Dengan DNA Litar

GR GT mencerminkan aspirasi TGR untuk menghasilkan kereta sport yang benar-benar lahir dari dunia perlumbaan.

Dalam pembangunannya, barisan pemandu yang terdiri daripada Master Driver Morizo (Pengerusi TMC, Akio Toyoda), pemandu profesional serta pemandu penilai dalaman sendiri terlibat rapat sejak peringkat awal.

Model ini dibina berasaskan reka bentuk FR (front-engine, rear-wheel drive) dengan pusat graviti yang direndahkan secara ekstrem.

Ia juga menampilkan rangka aluminium sepenuhnya – pertama kali digunakan pada kereta Toyota untuk mencapai kombinasi ideal antara kekuatan dan berat yang minimum.

Jantung GR GT ialah enjin 4.0 liter V8 twin-turbo baharu dengan sistem pelinciran dry-sump. Sistem transmisi pula menggunakan susun atur transaxle bersama tork tiub gentian karbon dan difrensial gelincir terhad mekanikal.

Hasilnya ialah kereta yang bukan sahaja pantas, tetapi memberi rasa kawalan yang intuitif untuk pemandu berpengalaman mahupun amatur.

GR GT3 – Direka Untuk Menang

GR GT3 dibangunkan terus daripada GR GT dan mematuhi sepenuhnya regulasi FIA GT3 – kategori paling berprestij untuk perlumbaan pelanggan yang berasaskan kereta produksi.

Dengan casis space-frame aluminium, suspensi double wishbone berkedudukan rendah, serta enjin V8 twin-turbo yang sama, GR GT3 disasarkan untuk menjadi pilihan “pelumba yang mahu naik podium” – sama ada pemandu profesional atau gentleman driver.

TGR juga sedang membangunkan rangka sokongan antarabangsa untuk memastikan dapat berlumba dengan lebih kompetitif.

Lexus LFA Concept – Menghidupkan Kembali Aura Ikon, Kali Ini Sebagai BEV

Lexus pula mencuri perhatian dengan memperkenalkan LFA Concept, sebuah visi awal untuk kereta sports elektrik tulen.

Walaupun era BEV sering dikaitkan dengan kompromi dari segi emosi pemanduan, Lexus mahu membuktikan sebaliknya – dan model konsep ini menjadi platform untuk mengejar imbangan terbaik antara prestasi, reka bentuk serta teknologi elektrik generasi baharu.

Direka bersama bimbingan Morizo, LFA Concept membawa DNA model LFA terdahulu yang sangat dihormati komuniti automotif global.

Fokusnya jelas: menghasilkan BEV sports yang tidak hanya pantas, tetapi mampu menyuntik sensasi sebenar di belakang stereng.

Toyota dan Lexus akan berkongsi lebih banyak maklumat teknikal serta perancangan pengenalan model ini dari semasa ke semasa.

Namun satu perkara pasti — tiga model baharu ini menandakan tahap keyakinan baharu dalam usaha Toyota membentuk masa depan kereta sports, sambil memastikan warisan pembuatan kereta Jepun terus segar dan relevan.

Google ads
Back to top button