Pandu Uji

PANDU UJI: LEXUS NX 350h LUXURY – SUV HIBRID PALING TENANG

Pada Julai lalu, jenama mewah Lexus memperkenalkan varian baharu dalam siri NX iaitu NX 350h Luxury. Varian itu bukan sekadar naik taraf biasa, tetapi tampil sebagai model hibrid (HEV) untuk pasaran tempatan dengan sistem pacuan semua roda (AWD) dan teknologi yang lebih menonjol dalam segmennya. Harga yang diumumkan ialah sekitar RM 395,888 (tanpa insurans).  

Model tersebut sebenarnya menggantikan varian NX 250 Luxury yang dahulu menjadi model asas untuk barisan NX di Malaysia. Kini, NX 350h pula menjadi model entry level kepada barisan Lexus NX generasi kedua di Malaysia.  

Kami sempat memandu uji model ini dari Lexus Subang Jaya ke The Lisbon Hotel, Melaka, perjalanan separuh hari yang cukup untuk memahami kenapa SUV hibrid ini menjadi taruhan utama Lexus di Malaysia.

Rupa Luar Elegan

Dari pandangan pertama, NX 350h memang menonjol dengan rekaan gril spindle ikonik Lexus yang kini lebih moden dan tajam. Garis badannya bersih tapi ada karakter agresif yang membuatkan SUV ini nampak tegap dan mahal. Lampu utama jenis triple-beam LED dengan DRL berbentuk anak panah menambah sentuhan futuristik.

Bahagian belakang pula lebih bersifat Eropah, dengan jalur lampu LED melintang penuh dan tulisan “LEXUS” besar di tengah yang menandakan arah reka bentuk baru jenama ini.

Ia nampak matang dan eksklusif, sesuai untuk mereka yang mahukan sebuah SUV yang tak terlalu menonjol, tetapi tetap berkarisma apabila diparkir di hadapan hotel mewah.

Kabin Tenang, Teratur dan Penuh Teknologi

Masuk ke dalam kabin NX 350h Luxury, terus terasa DNA Lexus yang terkenal dengan ketelitiannya. Setiap tombol, suis dan titik sentuhan dihasil menggunakan material premium. Tempat duduk balutan kulit semi-aniline, jahitan kemas dan sistem pencahayaan ambien 64 warna menjadikan kabin ini antara yang paling tenang dalam segmennya.

Bahagian pemandu kini lebih terarah kepada konsep Tazuna Cockpit, di mana semua kawalan utama disusun supaya mudah dicapai tanpa ganggu fokus pemanduan.

Skrin infotainmen bersaiz 14 inci bukan sahaja responsif, malah dilengkapi Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Manakala sistem audio Mark Levinson 17 unit pembesar suara itu menjanjikan kualiti bunyi yang mengasyikkan. 

Apa yang menarik, sistem pendingin hawa nanoe-X daripada Panasonic bukan sekadar menyejukkan, tetapi ia bantu mengekalkan kelembapan kulit dan menapis udara kabin. Perincian kecil sebegini memang tipikal Lexus, tak nampak tapi terasa.

Kuasa Hibrid: Laju Bila Perlu, Senyap Sepanjang Masa

NX 350h menggunakan rangkaian kuasa hibrid yang terdiri daripada enjin 2.5 liter dan motor elektrik yang mampu menjana sehingga 243hp dan tork 239Nm. Kuasa itu disalurkan melalui transmisi e-CVT lapan kelajuan ke semua roda.

Di atas kertas, pecutan dari 0-100 km/j boleh dicatat dalam masa hanya 7.7 saat. Namun, apa yang lebih penting ialah cara ia menyampaikan kuasa itu dengan sangat lancar.

Dari Subang hingga ke masuk Lebuhraya Utara-Selatan, sistem hibridnya bertukar di antara petrol dan elektrik dengan begitu halus sampai sukar nak perasan bilakan enjin hidup. Sebaik sahaja pedal minyak ditekan, ada respon pantas tanpa sebarang delay, memang padu, linear dan senyap.

Sepanjang perjalanan ke Melaka, bacaan penggunaan bahan api adalah sekitar 5.5L/100km menunjukkan kecekapan yang sukar ditandingi oleh mana-mana SUV petrol konvensional.

Lebih menarik, pemandu boleh memilih mod pemanduan sama ada Eco, Normal, Sport yang berupaya mengubah karakter SUV ini. Dalam mod Sport, pecutan terasa lebih bertenaga, sementara Eco buatkan SUV ini begitu relaks sesuai untuk pemanduan santai di lebuh raya.

Suspensi NX 350h antara yang paling mengagumkan dalam kelasnya. Lexus berjaya mencari keseimbangan di antara keselesaan dan kestabilan. Setiap bonggol, lubang dan sambungan jalan dapat diatasi dengan mudah, apabila masuk selekoh panjang menuju ke Ayer Keroh, SUV ini masih rasa terkawal dan yakin.

Sistem pacuan E-Four AWD bekerja senyap di belakang tabir, ia berfungsi mengagihkan kuasatork ketika perlu tanpa drama. Bagi mereka yang pernah memandu  SUV besar Jepun sebelum ini, NX 350h terasa jauh lebih “refined”. Sterengnya juga cukup berat, beri keyakinan dan rasa kawalan tepat apabila memotong di lebuh raya.

Kami berhenti seketika di hentian sebelum masuk Melaka — dan pada masa itu terasa satu perkara: walaupun dah hampir dua jam dalam kabin, badan langsung tak penat. Tempat duduknya menyokong dengan sempurna, sistem bunyi Mark Levinson masih kedengaran jernih walaupun volume rendah, dan suasana kabin betul-betul tenang.

Ciri Keselamatan dan Bantuan Pemandu

Lexus NX 350h datang lengkap dengan Lexus Safety System+ 3.0, antara sistem bantuan pemandu paling lengkap dalam segmen ini. Ada Dynamic Radar Cruise Control, Lane Tracing Assist, Pre-Collision System dan Emergency Steering Assist.

Ia juga ada ciri Safe Exit Assist, pintu takkan buka kalau sensor kesan kenderaan datang dari belakang. Senang cakap, SUV ini bukan sahaja melindungi pemandu, tapi juga mereka yang lalu di sekelilingnya.

Selesai perjalanan ke Melaka, satu perkara jelas ialah Lexus NX 350h Luxury bukan sekadar tentang lencana “premium”. Ia tentang pengalaman pemanduan yang tenang, penjimatan bahan api yang bagus dan mutu binaan yang masih sukar disaingi oleh mana-mana jenama Eropah dalam kelas harga sama.

SUV ini sesuai untuk mereka yang mahukan keseimbangan di anatara gaya mewah tanpa menunjuk, teknologi terkini dan prestasi tanpa mengorbankan keselesaan. Kalau sebelum ni anda fikir hibrid cuma untuk penjimatan, NX 350h akan ubah persepsi itu sepenuhnya.

Dengan harga sekitar RM396k, Lexus NX 350h Luxury bukan SUV untuk semua orang — tapi bagi mereka yang faham nilai ketenangan dan kehalusan Jepun sebenar, ini mungkin SUV terbaik yang boleh anda pandu hari ini.

GALERI

Google ads
Back to top button