Buletin

LONG LIVE SEDAN! ORANG MUDA SUKA KERETA SEDAN – KAJIAN DI AS

Pasaran automotif dunia sekarang ini sedang dilanda banjir, bukan malapetaka tetapi dibanjiri tawaran SUV daripada pelbagai jenama dan juga segmen.

Pengeluar yang dahulunya tidak pernah buat SUV pun turut terikut sama memecah tradisi.

Jika dahulu jip penumpang digunakan di dalam hutan atau kerja-kerja kasar, SUV pula sekarang ini digunakan untuk meredah hutan konkrit dan sebagai kenderaan keluarga.

Tawaran SUV juga menyeluruh sekarang ini, daripada segmen A hinggalah segmen D.

Tidak dinafikan kepelbagaian ini turut menjejaskan segmen kereta penumpang atau sedan.

Adakah pengeluar kereta perlu risau dengan perkembangan ini?

Jika menurut kajian terbaru, teruskan sahaja sekurang-kurangnya untuk pasaran Amerika Syarikat.

Kajian yang dijalankan bagi pihak Nissan di dalam golongan muda di Amerika Syarikat mendapati keinginan untuk memiliki kereta penumpang kekal kukuh. 

Di kalangan responden yang tidak memiliki kereta penumpang, 78 peratus mengatakan akan mempertimbangkan untuk membeli dan kecenderungan tersebut lebih kuat untuk golongan muda.

Berikut ialah dapatan tentang kajian di kalangan pemilik dan bukan pemilik kereta di Amerika Syarikat yang berusia 18 hingga 65 tahun:

  • Pilihan popular: 78 peratus pemandu yang tidak memiliki kereta penumpang akan mempertimbangkannya untuk membeli sekarang atau pada masa depan
  • Pilihan generasi muda: 86 peratus golongan berusia 18 – 34 tahun (Generasi Z dan milenial) yang tidak memiliki kereta penumpang akan mempertimbang untuk membeli sekarang atau pada masa depan.
  • Pendapat yang sama turut dikongsi oleh 81 peratus Generasi X dan milenial lebih senior (35 – 50)
  • Pemilik yang berpuas hati: 89 peratus pemilik kereta sedan berpuas hati dengan kereta mereka dan bukan sedan pula sebanyak 88 peratus
  • Kebolehfungsian empat pintu: Bukan sahaja pemilik SUV dan trak (pikap) cenderung kepada fungsian. 95 peratus pemilik sedan menyenaraikan kebolehfungsian sebagai perkara nombor satu yang disukai terhadap kereta mereka. 94 peratus pemilik bukan sedan pula berkongsi pendapat sama.

Nissan Sylphy

Tinjauan ini memang wajar dibuat kerana Nissan baru sahaja melancarkan model baharu Versa. Model ini adalah gantian kepada Nissan Almera dan tampil begitu menarik sekali.

Bukan setakat Versa, barisan kereta sedan Nissan yang dilancarkan terlebih dahulu seperti Altima (Teana) dan Maxima juga tampil dengan DNA sama. Bergaya, moden, segar dengan reka bentuk yang sporti.

Untuk pasaran tempatan pula, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah mengesahkan Almera baharu akan ditawarkan pada tahun depan.

Nissan Altima – Maaf tidak masuk ke pasaran tempatan.

ETCM turut mengesahkan penawaran Sylphy baharu dan turut tersenarai ialah SUV sederhana Kicks.

Cuma dalam kerancakan itu, Nissan Teana tidak akan ditawarkan. Benar, saingan kereta penumpang segmen D berlangsung dengan sengit.

Apa pun, penawaran Almera dan Sylphy adalah satu berita baik untuk penggemar sedan.

Tags
Google ads
Back to top button