Buletin

NISSAN LEAF AUTECH JEPUN – DARI RM150K SAHAJA

Di antara barisan produk Nissan, model elektrik LEAF boleh dikatakan diberi perhatian yang banyak. Ada sahaja berita dan laporan mengenai LEAF daripada Nissan.

LEAF bukan sekadar kereta, ia adalah simbol kemajuan teknologi kereta elektrik (EV) yang dimiliki Nissan.

LEAF juga boleh diletakkan sebagai kayu pengukur dalam menentukan sejauh mana pengguna global boleh menerima EV.

Nissan boleh dipuji kerana jauh ke hadapan dalam memasarkan EV supaya diterima ramai.

Di dalam memastikan seramai mungkin pengguna mendapatkan LEAF, Nissan turut memberi perhatian kepada pasaran niche.

Selepas memperkenalkan Nissan LEAF NISMO dengan talaan dan gaya sporti, kini Nissan tampil pula dengan LEAF Autech.

Mungkin ada yang meminati LEAF tetapi tidak gemar spesifikasi standard dan LEAF NISMO serta LEAF Autech adalah jawapannya.

Nissan LEAF Autech akan menemui pelanggan di Jepun pada 21 Jun dan berbeza dengan NISMO, varian baharu ini lebih kepada gayaan mewah.

Autech Japan adalah subsidiari Nissan dan LEAF bukan projek pertama mereka.

LEAF Autech adalah model keempat Autech selepas Nissan Serena, Note dan X-Trail.

Berbeza dengan LEAF NISMO, naik taraf Autech untuk LEAF lebih kepada penampilan luar dan dalam sahaja.

Di antaranya ialah gril, kemasan metalik pada bampar depan dan belakang, skirt sisi dan lampu depan LED dengan corak bertitik yang merupakan identiti kenderaan Autech.

Rim pula daripada jenama Autech sendiri berukuran 17 inci.

Bahagian dalam pula tampil dengan konsep mewah seperti corak ira kayu pada papan pemuka kemasan dan balutan suede dan kulit lembut bercorak untuk tempat duduk.

Konsep mewah diteruskan melalui penggunaan warna asas kelabu gelap dan adunan lembut biru mutiara.

Nissan LEAF NISMO

Berkenaan harga, Nissan LEAF Autech dipasarkan pada JPY 3,931,200 (RM149,623) manakala LEAF e+ Autech pada JPY 4,432,320 (RM168,781).

Harga EV memang ‘keras’ berbanding kereta biasa atau hibrid dan kami tertanya berapa pula harga LEAF apabila dijual di dalam negara kelak?

*1 JPY = RM0.038

Google ads
Back to top button