Buletin

NISSAN CUBE, KERETA KOTAK YANG DIJUAL DI AMERIKA DAN EROPAH

Jika ada yang merasakan Nissan Juke adalah sebuah model pelik maka ketahuilah Nissan tidak kering dengan idea sebegitu.

Nissan Cube adalah di antara model unik daripada jenama yang sama menghasilkan GT-R.

Nissan ibarat pengeluar dengan identiti berbeza, ada model unik dan comel seperti Cube dan model legenda dan berkuasa GT-R.

Pada 1998, Nissan memperkenalkan Cube generasi pertama dengan reka bentuk ibarat kotak yang dipasangkan tayar. Cube disasarkan kepada pasaran kecil sahaja.

Di Jepun, kereta kotak begini adalah perkara biasa. Pada tahun 2002, kesinambungan Cube diteruskan melalui generasi kedua yang dilancarkan di Jepun.

Model baharu mempunyai segala macam ekstra seperti lebih luas, lebih banyak kaca, lebih kuasa dan paling penting lebih banyak sudut bulat dan membujur berbanding model terdahulu.

Usaha Nissan kali ini berjaya apabila Cube mendapat sambutan hangat di Tokyo.

Sama seperti Nissan GT-R, Nissan Cube banyak menemui khalayak di luar Jepun bukan secara fizikal tetapi melalui fesyen, majalah automotif, video dan laman web.

Eksklusiviti Cube kemudian berubah melalui model generasi ketiga apabila ia dilancarkan secara rasmi di Amerika Syarikat pada tahun 2009. Cube turut dipasarkan di Eropah.

Siapa sangka kereta kotak begini boleh lepas ke luar sempadan Jepun dan berada di negara barat.

Cube sebenarnya hadir dengan idea berbeza, ia lebih kepada objek yang unik dan boleh bergerak. Cube juga dibina supaya senang dipandu dan mudah dikendalikan di dalam trafik.

Dari segi prestasi pula, Cube lebih cenderung kepada seronok untuk dipandu berbanding pecutan semata-mata.

Konsep tersebut tidak bermakna kuasa diabaikan, Cube pasaran Amerika Syarikat dibekalkan enjin 1.8L MR18DE berkuasa 122 hp dan tork 172 Nm.

Enjin itu yang turut digunakan pada Nissan Versa dipadankan bersama transmisi Nissan Xtronic CVT. Pembeli turut ditawarkan dengan transmisi enam kelajuan manual.

Kereta unik ini walau bagaimanapun tidak bertahan lama selepas penjualannya dihentikan di Eropah pada 2011 disebabkan jualan yang perlahan.

Cube untuk pasaran Amerika Syarikat menerima nasib sedikit berbeza dan bertahan sehingga 2014 sebelum ditamatkan.

Nissan Cube kembali eksklusif untuk pasaran Jepun sehingga sekarang.

Adakah pengguna di Amerika Syarikat menolak kereta dengan reka bentuk begini?

Tidak kerana Kia Soul dengan konsep reka bentuk sama masih lagi dijual di sana sehingga sekarang.

Satu lagi perkara menarik, Nissan Cube turut pernah dibawa masuk secara bebas ke pasaran tempatan. Unit terpakai juga boleh dicari tetapi sangat sukar untuk ditemui.

Google ads
Back to top button