Buletin

LOTUS EMIRA 2025, EMIRA TURBO, TURBO SE DAN EMIRA V6

Kenderaan elektrik (EV) seperti Eletre dan Emeya memang hebat namun Lotus masih berpegang kepada enjin pembakaran dalaman (ICE).

Emira satu-satunya model ICE dan perlu dihargai sebaiknya sementara masih ditawarkan. Dilancar pada 2021, Emira mengumpul legasi Lotus sejak sekian lama.

Untuk 2025, Lotus menyusun varian kepada tiga pilihan utama iaitu Emira Turbo, Emira Turbo SE dan Emira V6. Susunan ini menggantikan Emira First Edition.

Bukan setakat ICE, Emira V6 dengan enjin 3.5 liter pengecas lampau boleh dipadan bersama kotak gear manual enam kelajuan selain automatik enam kelajuan.

Pelanggan yang mahukan nadi lebih kecil boleh dapatkan Emira Turbo dan Turbo SE yang menggunakan enjin 2.0 liter dari AMG dan dipadan bersama kotak gear cekam berkembar lapan kelajuan.

Emira Turbo memiliki 360 bhp dan pemilik Emira Turbo SE dapat menikmati kuasa lebih tinggi dengan 400 bhp dan 480Nm atau bertambah 50Nm. 

Lotus Emira Turbo

Emira V6 menghasilkan 400 bhp dengan 420Nm bagi model manual dan 430Nm untuk automatik.

Dari segi perkakasan, Emira Turbo dilengkapi cakera brek single piece dan beberapa perkakasan baharu seperti rim aloi 20 inci warna perak kilat, lencana Emira Turbo, pedal kaki dan pelapik siling fabrik.

Lagi ciri-ciri seperti warna Vivid Red, angkup brek hitam, balutan kulit hitam, kerusi 12 larasan elektrik, tetapan ampaian Touring dan tayar Goodyear Eagle F1 SuperSport yang dibangunkan khusus untuk Emira.

Lotus Emira Turbo SE

Tambahan kuasa pada Emira Turbo SE turut meningkatkan kelajuan tertinggi sebanyak 18 kilometer sejam (km/j) kepada 293 km/j. Pecutan dari 0 sehingga 100 km/j berkurang sebanyak 0.4 saat kepada 4.0 saat.

Turbo SE didatangkan bersama Lotus Drivers Pack yang terdiri daripada tetapan ampaian Sports, cakera brek two piece berpalang dan berliang dan kawalan mula pandu.

Selain lebih berprestasi, Turbo SE dilengkapi rim 20 inci corak V warna Satin Grey, warna Zinc Grey, pelapik siling Alcantara, angkup brek merah dan lencana Emira Turbo SE, logo Lotus dan muncung ekzos warna hitam.

Lotus Emira V6

Emira V6 dilengkapi cakera brek two piece berpalang dan berliang, tayar Goodyear Eagle F1 SuperSport, ampaian Touring dan pembeza gelincian terhad (LSD) untuk model manual.

Ciri lain seperti pelapik siling dan tiang A balutan fabrik hitam dan logo baharu.

Penamaan Emira merujuk kepada sejarah Lotus. Emira Turbo bukan sahaja tentang enjin 2.0 turbo tetapi juga sejarah penggunaan pengecas turbo buat kali pertama pada model Lotus iaitu Esprit Turbo pada tahun 1980.

Lotus Emira V6

Emira Turbo SE pula merujuk kepada SE iaitu pakej pilihan Special Equipment yang pertama kali diperkenal pada Type 14 Elite.

Lotus turut menggunakannya pada Type 26 Elan, Elan SE Turbo, Lotus Cortina, Elan S3, Elan S4 dan Plus 2.

Selain itu, Lotus menggunakan varian SE sebagai tanda kuasa lebih tinggi serta penambahan kelengkapan asas seperti yang boleh dilihat pada Esprit Turbo SE, Excel SE, Elan SE dan Europa SE. 

Google ads
"
"
Back to top button