
PANDU UJI: HYPER SUV ELETRE. SUDAH HILANG DNA SEBENAR LOTUS?
Walaupun sudah berada agak lama dalam industri, saya sebenarnya masih tidak berkesempatan untuk memandu uji sebuah Lotus. Jadi, DNA dan falsafah penghasilan sebuah Lotus oleh pengasasnya, Colin Chapman itu terhad kepada bacaan dan menonton video di YouTube sahaja.
Namun, penantian itu berakhir apabila saya dijemput untuk memandu uji Lotus Eletre S menuju ke Pulau Pinang baru-baru ini. Ia nyata satu pengalaman berbeza kerana Eletre ialah model elektrik sepenuhnya (EV) yang sekali pandang seolah-olah tidak lagi berpegang kepada prinsip asal Lotus iaitu sebuah jentera yang ringan, kecil dan lincah yang menjadi mantranya sejak tujuh dekad lalu.
Sebaliknya, Lotus Eletre ialah sebuah EV yang memiliki berat hampir 3 tan, kabin jauh lebih mewah dengan saiz cukup besar berbanding mana-mana model Lotus yang pernah anda kenal sebelum ini.

Sebagai pemilik baharu Lotus sejak tahun 2022, Geely melihat perubahan hala tuju itu perlu untuk membolehkannya terus bersaing dalam pasaran global yang sangat sengit. Di samping mahu meneroka pasaran baharu, sasaran pelanggan yang baru dan menjadi sebuah jenama lebih mewah.
Eletre mula diperkenalkan secara rasmi ke pasaran Malaysia pada April tahun lalu. Varian dan harga Eletre di pasaran Malaysia (tidak termasuk insurans) adalah seperti berikut:
- Eletre – RM598,000
- Eletre S – RM698,000
- Eletre R – RM838,000

Ya, memang tidak murah untuk mungkin 90 peratus daripada kita. Tetapi, pada tahun 2024 sahaja, Lotus Cars Malaysia berjaya menjual lebih 200 unit Eletre dengan sebahagian besarnya melibatkan varian Eletre S.
Menjadi SUV eletrik pertama keluarannya, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa reka bentuk luaran Eletre begitu futuristik. Banyak dipengaruhi oleh hypercar elektrik Lotus Evija, rekaan Eletre tetap memberi penekanan terhadap aspek aerodinamik.
Aspek itu boleh dilihat dengan ketara menerusi kewujudan corong-corong angin pada bampar hadapan, hud, panel sisi, bampar belakang dan dua keping spoiler yang terpisah itu.
Warna-warna garang terutama Solar Yellow itu nyata membuatkan penampilan Eletre lebih menyerlah. Tidak mahu sama dengan pemilik Eletre yang lain?

Tidak perlu bimbang kerana anda boleh menukar atau menambah aksesori seperti rim, brek, aerokit, bumbung panoramik dengan ciri elektrokromik. Maksudnya, bumbung kaca itu boleh dicerah atau dikaburkan dengan hanya perlu menekan satu butang sahaja.
Lotus cuba untuk membuatkan ruang kabin Eletre nampak dan rasa mewah. Bagi saya mereka berjaya menerusi penggunaan material-material premium seperti kulit dan Alcantara pada papan pemuka, stereng, panel pintu dan tempat duduk.
Seperti sudah menjadi satu template kepada sebuah EV, papan pemuka Eletre tampil minimalis dengan skrin sentuh jenis OLED bersaiz 15.1 inci. Ia bukan sahaja tempat untuk pemandu mengawal sistem infohibur, malah ciri-ciri lain seperti pendingin hawa, tetapan kenderaan dan macam-macam lagi.

Di hadapan pemandu dan penumpang hadapan, terdapat satu skrin nipis yang memaparkan pelbagai maklumat pemanduan dan lagu yang sedang dimainkan. Sepanjang berada di dalam kabin Eletre, selain tempat duduk yang ergonomik dan selesa itu, satu lagi benda yang saya masih tidak boleh move on ialah sistem bunyi KEF Reference Audio berkapasiti 2,160 watt dengan 23 unit pembesar suara.
Bunyi yang dihasilkan oleh sistem tersebut bagi saya memang sangat sedap dan memuaskan, sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Kalau tak percaya, kena lah pergi cuba dan dengar sendiri.
Pemilihan Pulau Pinang sebagai destinasi adalah untuk membuktikan bahawa EV ini mampu sampai ke sana tanpa perlu bimbang tentang ia kehabisan bateri di tengah jalan. Di atas kertas, Eletre menggunakan bateri berkapasiti 112kW yang boleh menawarkan jarak sejauh 600km mengikut kitaran WLTP.

Jadi, jika ia dipandu secara santai dan sesekali memecut, setakat hendak tiba di Pulau Pinang memang tiada masalah. Kalau perlu dicaj pun, Eletre dibina di atas platfom elektrik 800-volt yang membolehkannya menerima pengecasan pantas DC sehingga 350kW. Tempoh untuk mengecaj dari 10-80 peratus hanya mengambil masa sekitar 20 minit, pergi beli kopi dan ke tandas, dah siap caj.
Motor berkembar yang dipasang pada Eletre S pula menawarkan kuasa mencecah 605hp dan tork setinggi 710Nm. Maka tidak hairanlah jika SUV itu berupaya memecut dari 0-100km/j dalam masa cuma 4.5 saat dengan kelajuan dihadkan pada 258km/j.
Kuasa itu boleh dirasai dengan sangat ketara ketika memecut di lebuh raya. Memotong kenderaan lain dan mencapai had kelajuan kebangsaan terasa amat mudah dan kadang-kala sedikit menakutkan. Terutama apabila memasuki laluan kampung yang sempit dan berbengkang-bengkok. Ini kerana anda akan rasa keseimbangan dan maklum balas stereng tidaklah seperti diharapkan pada sebuah jentera Lotus terdahulu.

Keadaan itu banyak dipengaruhi oleh reka bentuk badan tinggi/besar dan berat yang terpaksa ditampungnya. Mujur juga brek berfungsi dengan sangat cemerlang, maka keseronokan memandu masih boleh dinikmati tanpa ragu-ragu. Oh ya, saya secara peribadi juga rasa ruang kabin jentera ini agak bising dengan bunyi angin, mungkin disebabkan oleh corong angin yang ada pada tiang C.
Selepas memandu selama beberapa hari, pendekatan berani Geely memperkenalkan Eletre nyata memberi nafas baru kepada Lotus. Tidak terhad kepada peminat tegar, jentera Lotus kini dilihat lebih terbuka untuk menerima pelanggan yang lebih muda.
- BACA: LOTUS BATALKAN RANCANGAN EV SEPENUHNYA 2028 – BARU TAHU TAK REALISTIK KE?
- BACA: SUMBANGAN LOTUS KEPADA SATRIA GTI BUKAN SEDIKIT – GENG BAIK BELI SILA KE TEPI
- BACA: MODEL ONE-OFF LOTUS EVIJA X KEMALANGAN DI GOODWOOD – KESILAPAN MANUSIA ATAU MESIN
- BACA: APA YANG TELAH TERJADI PADA LOTUS MOTORCYCLES? KE BUAT SUPERMOPED DENGAN MODENAS?
GALERI











