Motosikal

QJMOTOR DEDAH JENTERA HYPERNAKED SULUNG – 163HP, 90NM

Walaupun menerima pelbagai kecaman dan kritikan namun jenama motosikal China terus mara ke hadapan bagi memberi saingan terhadap jenama terkemuka sedia ada. 

Terbaru, QJMotor mengumumkan penyertaan dalam segmen ‘hypernaked’ menerusi QJMotor SRK 1000. 

QJMotor pernah mempamerkan versi ‘prototaip’ di EICMA edisi 2023 sebelum memperkenalkan versi sebenar setahun kemudian sebagai model 2025. 

Atas kertas, SRK 1000 ini dipacu enjin empat silinder 921cc 16-valve DOHC dengan sistem penyejukan cecair yang diambil dari MV Agusta. Untuk rekod, platform tersebut turut menggerakan SRK 921RR dan SRK 1000 RR namun dengan talaan berbeza. 

Hasilnya, SRK 1000 ini menawarkan 163hp pada 13,600rpom dan 90Nm pada 11,000rpm sekaligus merupakan jentera paling berkuasa pernah dihasilkan QJMotor. Berdasarkan angka kuasa tersebut, SRK 1000 ini bakal bersaing dengan model seperti Honda CB1000 Hornet (152hp) dan GSX-S1000 (150hp). 

Antara perincian lain ditawarkan termasuk fork terbalik (USD), sistem brek Brembo dengan cakera brek 320mm hadapan dan 260mm di belakang, traction control serta skrin paparan TFT 5.5-inci yang boleh disambungkan ke telefon pintar. Menariknya, SRK 1000 ini turut dilengkapi dengan TPMS (tyre pressure monitoring system) dan cruise control. 

Menurut QJMotor, SRK 1000 ini dilengkapi dengan tangki 15L dan dengan isian penuh motosikal ini adalah sekitar 215kg. 

Bagi pasaran global, QJMotor SRK 1000 ini hadir dengan tiga warna pilihan; merah, hitam dan kelabu.

Buat masa ini, pengedar rasmi jenama QJMotor di Malaysia, MForce Bike Holdings belum menyatakan pendirian rasmi sama ada model ini akan dipasarkan di sini pada 2025. Apa pun kami akan bawakan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.  

Google ads
"
"
Back to top button