
LOTUS KEMBALI GUNA V8, SUPERCAR HIBRID 1,000HP SAH TIBA TAHUN 2028
Lotus kini bersedia membuka lembaran baharu apabila mengesahkan pembangunan sebuah supercar enjin tengah berkuasa hibrid V8 yang dijadual diperkenalkan pada tahun 2028.
Model yang dikenali dengan kod dalaman Type 135 itu turut menandakan kembalinya enjin V8 ke dalam barisan Lotus selepas lebih dua dekad.
Pengumuman tersebut sekali gus menunjukkan perubahan besar dalam hala tuju syarikat itu.
Jika sebelum ini Lotus menyasarkan untuk menjadi jenama elektrik sepenuhnya menjelang 2028, pengeluar dari Britain itu kini memilih pendekatan lebih fleksibel dengan menawarkan gabungan model enjin pembakaran dalaman, hibrid dan juga EV.

Supercar baharu itu sedang dibangunkan di pusat reka bentuk Lotus di Coventry dan dijangka mengambil inspirasi daripada konsep elektrik Theory 1 yang diperlihatkan tahun lalu.
Pada masa sama, elemen klasik daripada model lagenda Esprit juga dipercayai akan diterapkan pada reka bentuk keseluruhannya.
Dari segi penampilan, Type 135 dijangka hadir dengan badan lebih aerodinamik, spoiler belakang bersaiz besar, diffuser agresif serta sistem ekzos menonjol bagi mengekalkan karakter bunyi prestasi yang sinonim dengan supercar tradisional.
Lotus turut dijangka mengekalkan kerjasama dengan Mercedes-AMG menerusi penggunaan enjin 4.0 liter V8 twin-turbo yang dipadankan bersama sistem hibrid.
Gabungan itu dikatakan mampu menghasilkan kuasa melebihi 1,000hp, sekali gus menjadikannya antara model produksi paling berkuasa pernah dihasilkan jenama tersebut.
Menariknya, laporan turut menyebut Lotus memilih sistem hibrid biasa (HEV) berbanding plug-in hybrid (PHEV) bagi memastikan berat keseluruhan kekal rendah dan sejajar dengan falsafah prestasi ringan Lotus.
Pengeluaran model ini dijangka dilakukan di kilang Hethel, Norfolk di United Kingdom, lokasi sama yang menghasilkan Emira dan Evija.
Bahagian kabin pula dikatakan menampilkan konsep ringan berinspirasikan perlumbaan dengan sistem digital moden serta tempat duduk sport bagi memberikan pengalaman pemanduan lebih fokus.
- BACA: KIA TINGKAT PENGALAMAN PEMILIKAN – ‘KIA MAINTENANCE PLAN’ KINI BERMULA RM2,980
- BACA: GEELY MOTORSPORT TUNJUK TARING, PREFACE TCR MENANG DALAM DEBUT DI FIA TCR WORLD TOUR
- BACA: TOYOTA PILIH GAYA SPORTY UNTUK COROLLA ULANG TAHUN KE-60, HARGA MULA RM80K
- BACA: CHERY QQ3 EV DILANCARKAN DI INDONESIA MINGGU DEPAN – BATERI 4.3KWH, JARAK GERAK SEHINGGA 420KM







