
LUCID AIR – JENTERA ELEKTRIK BERKUASA 1,000HP!
Pengeluar kereta elektrik, Lucid Motors baru sahaja mendedahkan model pertamanya, Lucid Air yang memang cukup cantik.
Lucid Air dijangka menjadi pesaing langsung terhadap varian tertinggi Tesla Model S serta sedan eksekutif mewah yang lain.
Jentera itu dikuasakan oleh dua unit motor elektrik untuk menggerakkan roda hadapan dan belakangnya. Hasilnya? Pemandu mempunyai kuasa mencecah 1,000hp untuk digunakan!
BACA: ‘INSANE MODE’ TAK CUKUP LAJU, 126 PELANGGAN NORWAY SAMAN TESLA
BACA: SUV MASA DEPAN – LYNK & CO.01
Pelanggan boleh memilih di antara pek bateri 100kWh atau 130kWh yang mampu menawarkan jarak sehingga 644km dengan sekali caj. Sekali gus menjadikannya model EV yang mempunyai jarak paling jauh setakat ini.
Sama seperti Tesla Model S P100D, motor elektrik berkembar pada Lucid Air membolehkannya memecut dengan sangat pantas. Malah, Lucid mendakwa kenderaan itu mampu mencatat kelajuan dari 0 hingga 100km/j dalam masa cuma 2.5 saat sahaja.
Walaupun ini hanya gambar konsep, namun prototaip Air menampilkan rekaan luaran yang begitu futuristik. Ia diserlahkan menerusi lampu utama LEF dan lampu nyalaan siang yang diposisikan secara vertikal. Lucid Air turut dipasang dengan bumbung kaca panoramik yang besar.
Bahagian kabin menyerlahkan kemewahan sebenar. Ia dilengkapi satu set tempat duduk yang boleh dibaringkan, dibalut dengan kulit berwarna putih dan dikelilingi oleh kaca. Rekaan papan pemuka yang minimalis itu didominasi oleh dua skrin dan satu paparan berbentuk empat segi sama pada bawah konsol tengah. Sementara ruang belakang juga dilengkapi beberapa paparan interaktif.
Lucid dijangka menawarkan Air menjelang tahun 2018. Ia menyatakan 250 unit terawal akan dijual lengkap bersama pelbagai ciri menarik. Harga anggaran adalah sekitar AS$160,000 (RM714,000) seunit. Selepas itu, varian yang lebih murah akan ditawarkan.
Tempahan sudah dibuka dan pelanggan perlu membayar deposit sebanyak AS$25,000 (RM112,000).