
LYNK & CO 01 2025 DIPERKENAL DI EROPAH, LEBIH BERKUASA, 276 HP 535NM!
Hari ini boleh disaksikan begitu banyak produk dari ahli kumpulan Geely dikeluarkan. Pelbagai jenama dan macam-macam segmen bermula dari pelanggan kebanyakan sehingga model premium Lotus.
Geely sememangnya sudah biasa dengan sub jenama dan agenda tersebut diteruskan di peringkat antarabangsa.
Sebelum Polestar dan Zeekr, Lynk & Co terlebih dulu mengambil tempat pada 2016. Model pertama iaitu crossover SUV kompak 01 hadir dalam rekaan unik pada tahun yang sama dan mula dijual pada 2017.
Lynk & Co menggunakan model jualan secara terus kepada pelanggan tanpa orang tengah. Pelanggan di Eropah menerima 01 pada 2021.
Bergantung kepada pasaran, 01 menggunakan rangkaian kuasa 1.5 liter turbo tiga silinder pancitan terus hibrid plug-in (PHEV), 1.5 liter turbo tiga silinder hibrid dan 2.0 liter turbo.

Sejak diperkenal, 01 telah menjalani dua program rupa baharu iaitu untuk model tahun (MY) 2021 dan MY 2022.
Terbaru Lynk & Co 01 2025 diperkenal di Eropah dan hasil daripada maklum balas pelanggan. Hanya perubahan kecil pada rekaan dan pilihan warna baharu.
Perubahan boleh dilihat pada jeriji hitam kilat baharu, rim dengan lebih banyak jejari dan cabang dan lampu belakang LED baharu.
Pilihan warna baharu seperti Crystal White, Sparkling Black dan Mineral Green.
Pada bahagian dalam, sistem maklumat hibur kini mempunyai masa tindak balas lebih pantas.

Skrin sentuh definisi tinggi (HD) berukuran 15.4 inci menggantikan skrin 12.7 inci dan cip Qualcomm Snapdragon 8155 menjadikan operasi lebih pantas.
Stereng kereta mempunyai butang fizikal dan membantu pemandu untuk memberi tumpuan kepada jalan raya.
Perubahan terbesar terletak pada nadi kereta dan Lynk & Co tidak memperincikannya kecuali memaklumkan kecuali lebih bertenaga dan cekap dengan pecutan lebih jitu dan pengendalian lebih responsif.
Rangkaian kuasa PHEV MY 2025 menghasilkan 276 kuasa kuda (hp) dan tork 535Nm.
Untuk perbandingan, enjin 1.5 PHEV sebelum ini memiliki 180 hp dan 265Nm. Motor elektrik pula berkuasa 60 kilowatt (kW) dan 160Nm.
Dari segi penggunaan bahan api, model 2025 hanya menggunakan 0.9 liter petrol untuk 100 kilometer. Sebagai PHEV, 01 boleh dipandu menggunakan mod elektrik sejauh 75 kilometer.