Buletin

GEELY BAKAL JV DENGAN RENAULT. FOKUS HASILKAN MODEL PHEV, TEMBUSI PASARAN AMERIKA DAN ASIA

Geely Holding dan Renault dilapor bakal mengumumkan kerjasama (Joint Venture) untuk menghasilkan kenderaan plug-in hibrid di Korea Selatan dan mungkin dieksport ke pasaran Amerika Syarikat.

JV yang giat diusahakan sejak awal tahun lalu turut melibatkan kerjasama operasi di China. Ia juga akan membolehkan Renault untuk merancakkan kembali perniagaannya di Korea Selatan dan Asia. 

Renault yang keluar dari China tahun lalu berpeluang untuk masuk kembali ke dalam pasaran automotif terbesar di dunia itu menerusi pembentukan jenama baharu yang fokus kepada model plug-in hybrid dan diuruskan bersama Geely. 

Geely pula dijangka bekerjasama dengan Renault untuk menghasilkan rangkaian model mesra alam baharu menggunakan rantaian bekalan, kemudahan pengilangan serta platform Compact Modular Architecture (CMA) yang kini dikongsi oleh Geely dan Volvo. Renault akan fokus kepada aspek reka bentuk, jualan dan pemasaran jenama baharu tersebut.

Bagi Geely, kerjasama itu membolehkannya membina tapak dan mengakses kilang pemasangan Renault di Busan, Korea Selatan. Selama dua dekad, Geely hanya boleh menjual kenderaannya melalui satu jenama di bawah unit Samsung Group. 

Geely didakwa bakal menghasilkan model SUV Lynk & Co 01 di kilang terbabit. Jentera itu kini ditawarkan dalam tiga pilihan rangkaian kuasa iaitu petrol, hibrid dan plug-in hybrid. 

Kerjasama dengan Renault juga bermakna Geely kini mempunyai akses untuk memasuki pasaran Amerika. Ini kerana ia akan mengambil kesempatan di atas perjanjian perdagangan bebas di antara Amerika dan Korea Selatan untuk mengeksport kenderaan Lynk & Co ke sana. 

Bagi Renault, JV tersebut memberi peluang kepadanya untuk menghasilkan model Lynk & Co versi Renault Samsung. Renault Samsung Motors yang dikawal 80 peratus oleh Renault berdepan kesukaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Buktinya, jualan dan eksport merudum kepada hanya 120,000 unit tahun ini.

Sehinga kini, masih belum jelas bagaimana kerjasama baharu di antara Geely dan Renault akan memberi impak kepada pakatan Renault-Nissan.  

Google ads
Back to top button