Pandu Uji

GWM HAVAL H6 HEV, HARGA SEGMEN B TAPI SAIZ SEGMEN C

Penulis baru saja pulang dari Desaru, memandu sejauh 400km ataupun 800km dua hala bagi memandu uji GWM Haval H6 HEV yang bakal diperkenalkan tidak lagi pada pasaran Malaysia. Dengan menggunakan platform baru iaitu Platform Lemon, dengan panjang mencecah 4653mm dan lebar 1886mm

Manakala jarak antara roda pula ditetapkan pada 2738mm, menjadikan GWM Haval H6 HEV ini berada dalam kategori SUV segmen C, memberi saingan tidak langsung kepada Honda CR-V e:HEV. Namun dari segi harga, ia dijangka akan dijual dengan harga sekitar RM 145,000 sahaja menjadikan setara dengan harga HR-V Hibrid e:HEV.

Hanya satu pilihan trenkuasa sahaja yang ditawarkan iaitu trenkuasa hibrid series-parallel, menggabungkan enjin 1500cc 4 silinder dan juga motor elektrik. Enjin turbo ini menjana 148 kuasa kuda dan 230Nm tork manakala motor elektrik menghasilkan 128 kuasa kuda dan 300Nm tork.

Gabungan motor dan enjin ini menjana sehingga 239 kuasa kuda dan 530Nm tork, dengan enjin bertindak sebagai pengecas bateri hibrid 1.8kWh dengan motor elektrik memacu SUV ini pada kebanyakan masa.

Sekiranya diperlukan enjin dan motor elektrik ini akan bergabung menerusi sistem transmisi Hybrid Dedicated Transmission bagi menghasilkan pecutan 0-100km/jam dalam masa 7.7 saat. Halaju maksimum pula dihadkan kepada 175km/jam dan purata penggunaan bahan api ialah sekitar 17.2km bagi setiap liter petrol

SUV ini menggunakan elemen Star Matrix pada rekaan jeriji depan, menggabungkan elemen bintik krom dan logo HAVAL pada bahagian tengah. Bagi menyerlahkan lagi imej sporti GWM Haval H6 HEV, rim disalut dengan kemasan cat hitam berkilat dan tayar Hankook Ventus S1 EVO

Ruang kargo belakang adalah sebesar 560 liter, biarpun sebahagian kecil daripada ruang tersebut telah digunakan untuk memasang bateri hibrid. Ruang ini boleh diperbesarkan lagi menjadi 1485 liter ruang kargo apabila kusyen belakang dilipat.

Suspensi roda depan menggunakan topang McPherson manakala roda belakang pula menggunakan sistem MultiLink. Berbeza dengan unit yang diuji oleh penulis pada bulan April dulu di Baoding China, varian untuk pasaran Malaysia datang dengan tetapan spring dan absorber yang lebih rasa “nasi lemak”.

Tetapan spring dan penyerap hentak adalah seimbang antara lembut dan juga sport, namun pada hemat penulis mungkin 55% sport dan 45% lembut. Jika anda memandu pada halaju 120km/j di lebuh raya, anda akan rasa mengantuk

GWM Haval H6 HEV terasa berada dalam operasi yang cemerlang bila dipandu pada halaju antara 140-160km/jam. Bahagian belakang terasa tenang biarpun dipandu pada kelajuan tinggi, kecuali anda memandu mencapai kelajuan maksima.

Tork yang dihasilkan dan dihantar ke roda depan adalah cukup memuaskan, dengan usaha untuk memintas kereta di jalan persekutuan dibuat dengan penuh yakin. Malah tork pada RPM pertengahan dengan halaju antara 80-140km/jam cukup kuat, menyebabkan anda sentiasa tersenyum ketika memotong lori perlahan

SUV ini juga cemerlang ketika penulis mengambil selekoh laju keluar dari lebuh raya, keluar dari persimpangan bulatan dan juga ketika menguji di laluan jalan persekutuan yang berselekoh dari Desaru menuju ke Simpang Renggam. Olengan cesi adalah minimum dengan tayar mengigit permukaan jalan dengan baik.

Pecutan yang dibuat oleh SUV ini adalah cukup linear, dengan kuasa masuk secara lembut dan mendatar, bukannya agresif seperti kereta elektrik. Operasi start stop berjalan dengan senyap, dengan bunyi enjin adalah sangat minima ketika ia mengecaj bateri sistem hibrid.

Untuk operasi pemanduan biasa, adalah sangat sukar untuk mengesan bunyi enjin. Malah pelapik enjin di bahagian engine head juga diletakkan dengan span bagi menyerap gegeran dan bunyi bising. Penulis mencatatkan bacaan bunyi bising sekitar 56dB pada halaju 120km/jam.

Kebanyakan masa bunyi bising dihasilkan oleh bunyi tayar, namun disebabkan oleh tekanan ayar telah diisi pada 260kpa (saranan pengeluar hanyalah 240kpa sahaja). Jika anda memandu dengan berhemah, adalah tidak mustahil untuk mendapat sehingga 1000km bagi setiap 1 tangki petrol penuh.

Bagi pembeli terawal, GWM menawarkan jaminan sehingga 10 tahun atau 1,000,000 km bagi kenderaan dan juga 8 tahun atau 1,000,000 km bagi trenkuasa yang merangkumi sistem hibrid, Dedicated Hybrid Transmission, bateri, kabel dan juga Unit Kawalan Transmisi

Google ads
Back to top button