Buletin

LYNK & CO 08: PHEV DENGAN JARAK ELEKTRIK 200KM & PENGECASAN PANTAS

Selepas kenderaan elektrik (EV), industri sekarang ini menumpukan perhatian pada kenderaan hibrid plug-in (PHEV).

PHEV sudah lama di pasaran dan diberi nafas baharu melalui teknologi lebih canggih. Satu di antara faktor lonjakan PHEV ialah jarak pemanduan elektrik melebihi 100 kilometer (km).

Malah, ada yang lebih jauh sebagai contoh kenderaan utiliti sukan (SUV) Lynk & Co 08 dengan jarak elektrik luar biasa sejauh 200km (WLTP)! Di China, model ini dikenali sebagai 08 EM-P.

Bukan itu sahaja, SUV segmen D ini mempunyai pengecasan pantas.

Lynk & Co memaklumkan jarak itu meletakkan 08 sebagai model PHEV dengan jarak elektrik terpanjang di Eropah.

Kenapa PHEV pilihan yang baik? Pemandu boleh boleh melakukan perjalanan harian tanpa menggunakan petrol langsung selain mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil dan membantu mengurangkan jejak karbon.

PHEV menjadikan pemanduan elektrik lebih praktikal dan boleh diakses tanpa memerlukan komitmen penuh kepada kenderaan elektrik sepenuhnya (EV).

Bukan sahaja pemanduan elektrik malah gabungan bersama enjin pembakaran dalaman juga memberikan jarak pemanduan yang bagus.

Perkakasan elektrik dan enjin 1.5 liter petrol turbo membolehkan 08 dipandu sehingga melebihi 1,100km dan sesuai untuk perjalanan jauh.

Satu lagi yang menarik mengenai 08 adalah pengecasan pantas DC dan membolehkan bateri dicas dari 10 sehingga 80 peratus dalam hanya 33 minit dan mengurangkan masa menunggu.

Lynk & Co memaklumkan 08 satu-satunya PHEV di pasaran yang menggunakan pengecasan pantas DC.

08 merupakan model ketiga Lynk & Co di Eropah dan ditawarkan dalam varian Core dan More. Jualan bermula pada Jun 2025 dengan harga dari EUR 52,995 euro (RM257,415).

Google ads
Back to top button