
MAA PERBAHARUI UNJURAN TIV 2023 – SASAR 725,000 UNIT
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) baru-baru ini menaikkan unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi keseluruhan 2023 kepada 725,000 unit berbanding unjuran sebelum ini 650,000 unit.
Menurut MAA, unjuran baharu itu berikutan jualan kenderaan bermotor baharu terus berkembang kukuh pada separuh pertama 2023, dengan TIV meningkat 10.3 peratus kepada 366,037 unit berbanding 331,746 unit dalam tempoh sama 2022.
Tambah MAA, jualan kukuh oleh pengeluar kereta nasional juga menyumbang secara ketara terhadap TIV pada separuh pertama 2023.

Untuk rekod, jumlah jualan kereta nasional dalam tempoh enam bulan adalah berjumlah 220,702 unit, meningkat 19 peratus dari tahun ke tahun.
Ini menjadikan penguasaan pasaran kereta nasional dalam kenderaan penumpang sekitar 68 peratus daripada TIV pada separuh pertama 2023.
Walau bagaimanapun, jualan kenderaan penumpang bukan nasional menyaksikan penurunan tiga peratus kepada 105,959 unit.
Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain, berkata pasaran kenderaan baharu bukan saja kembali ke tahap prapandemik, malah juga melepasi paras prapandemik.
Beliau berkata, terdapat pelbagai faktor mendorong pertumbuhan kukuh pada separuh pertama tahun ini termasuk memenuhi tempahan yang diterima semasa pengecualian cukai jualan tahun lalu.
Selain itu, jualan kukuh juga didorong oleh kenderaan nasional di samping pertumbuhan ekonomi domestik yang kukuh dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 5.6 peratus pada suku pertama 2023.
Jelas beliau lagi, jualan kenderaan penumpang baharu meningkat 11.2 peratus kepada 326,661 unit pada separuh pertama 2023 manakala kenderaan komersial baharu meningkat 3.6 peratus kepada 39,376 unit.
“Semakan menaik unjuran TIV 2023 turut mengambil kira kemajuan dalam persekitaran rantaian bekalan industri automotif serta pengekalan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus oleh Bank Negara Malaysia (BNM),” kata Mohd Shamsor Mohd Zain. – Berita Harian
- BACA: MITI BINCANG DENGAN PROTON DAN PERODUA UNTUK PERCEPATKAN PENGELUARAN EV ‘RAHMAH’
- BACA: HONDA CITY GANTI PROTON PREVE SEBAGAI KERETA POLIS
- BACA: TOYOTA RUSH / PERODUA ARUZ – APA NASIB KEDUANYA NANTI?
- BACA: PROTON X90 DIPERKENAL. SISTEM HIBRID RINGAN 48V, 190HP/300NM, PILIHAN 6 & 7 TEMPAT DUDUK, LANCAR SELEPAS HARI RAYA?









