Artikel Pilihan

INTERSTATE 96 CONNECTICUT HURU HARA AKIBAT TUMPAHAN NAJIS MANUSIA – BAHAYA JUGA SISA ORGANIK NI

Lebuhraya Interstate 95 berhampiran Bridgeport, Connecticut menjadi huru-hara akibat tumpahan najis manusia yang mengakibatkan beberapa buah kenderaan terlibat dalam kemalangan termasuklah dua buah kereta peronda polis. Tiada kecederaan dilaporkan tapi kemalangan menyebabkan sebahagian lebuh raya ditutup selama hampir tiga jam.

Polis Connecticut menerima laporan tentang tumpahan sisa buangan di atas lebuh raya dari sebuah trak pada sekitar jam 10.30 malam waktu tempatan. Setibanya mereka di tempat kejadian, permukaan lebuh raya sudah bertukar menjadi licin ekoran tumpahan tersebut menyebabkan berlakunya beberapa kemalangan yang sangat… err… berbau tidak enak.

Selepas tumpahan berlaku, sebuah Toyota Avalon terbabas dan melanggar dinding konkrit diikuti sebuah Honda Civic yang turut menerima nasib yang sama. Sejurus kemudian berlaku pula pertembungan antara sebuah lagi Honda Civic dengan sebuah Honda CR-V akibat permukaan jalan yang semakin licin. Namun tiada kecederaan dilaporkan kecuali masing-masing terpaksa memekup hidung kerana bergelumang dengan sisa ‘toksik’.

Selepas pukul 11.00 malam, seorang penunggang motosikal pula kehilangan kawalan selepas melanggar sisa tumpahan. Beliau terjatuh menggelongsor di atas permukaan lebuh raya. Aduh, naya betul. Kena sental betul-betul tu nak kasi hilang bau.

Kemalangan seterusnya paling teruk kerana melibatkan dua buah kereta peronda dan sebuah treler. Kedua kereta peronda diletakkan di lokasi kemalangan untuk memberi amaran kepada pengguna jalan raya lain dengan lampu amaran dinyalakan.

Ketika anggota-anggota polis sedang membantu mangsa-mangsa kemalangan, sebuah treler gagal diberhentikan dan merempuh kedua-dua kereta peronda sehingga remuk. Nasib baik ketika kejadian tiada anggota di dalam kedua-dua buah kereta peronda tersebut.

Pemandu trak yang menumpahkan sisa najis tersebut berjaya ditahan oleh pihak polis selepas diarahkan berhenti oleh syarikatnya. Sewaktu ditahan bersama trak Mack 2017 yang dipandunya sisa tumpahan masih lagi menitis di sepanjang jalan. Perghh…bau tu.

Beliau dikenakan saman kerana memandu cuai, memandu dengan kargo tumpah dan berdozen lagi pertuduhan yang membahayakan keselamatan umum. Perbicaraan ditetapkan pada 8 Ogos akan datang.

Google ads
Back to top button