Buletin

MITI BINCANG DENGAN PROTON DAN PERODUA UNTUK PERCEPATKAN PENGELUARAN EV ‘RAHMAH’

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sedang berbincang dengan Proton dan Perodua untuk mempercepatkan pengeluaran kenderaan elektrik nasional dan menawarkan pilihan mampu milik.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz turut menegaskan bahawa garis panduan semasa permit import (AP) juga ditambah baik untuk memberikan fleksibiliti ke atas kuantiti maksimum pengimportan kenderaan secara yang dipasang sepenuhnya (CBU).

“Langkah penambahbaikan ini juga dijangka memberi lebih pilihan EV untuk ditawarkan dalam pasaran kepada rakyat,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat.

Mengulas mengenai hala tuju MITI bagi tahun 2023, beliau berkata MITI telah memperkenalkan Dasar Pelaburan Baharu berteraskan Aspirasi Pelaburan Nasional pada 6 Oktober tahun lalu.

Dasar tersebut adalah untuk mempercepatkan pertumbuhan jangka panjang Malaysia melalui pelaburan berkualiti yang mampan dalam bidang pertumbuhan baharu.

“Bagi tempoh Januari sehingga September 2022, Malaysia telah menarik sejumlah RM193.7 bilion pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan, sektor perkhidmatan dan sektor utama, melibatkan 2,786 projek serta dijangka mewujudkan 98,414 peluang pekerjaan di negara ini,” katanya.

Tambah beliau lagi, projek-projek yang diluluskan akan mengambil masa antara 12 hingga 24 bulan untuk dilaksanakan.

“Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan tersebut, jumlah pelaburan direalisasikan adalah antara 75 peratus hingga 80 peratus dan kita harus memantau proses ini.”

Proton, pembuat kereta nasional pertama Malaysia, adalah 49.9 peratus dimiliki oleh pengeluar kereta Zhejiang Geely Holding Group yang berpangkalan di China. Sementara, pengeluar kereta Jepun, Daihatsu pula ialah rakan kongsi teknologi Perodua, pengeluar kereta nasional kedua Malaysia.

Daihatsu dan Daihatsu (M) Sdn Bhd masing-masing memegang 20 peratus dan 5 peratus kepentingan Perodua. Walau bagaimanapun, kedua-dua pembuat kereta tempatan masih belum mengeluarkan atau memperkenalkan model EV di negara ini.

Dilaporkan tahun lepas bahawa kerajaan Malaysia menyasarkan untuk memasang sehingga 10,000 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di negara ini menjelang 2025 di bawah Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030.

Berdasarkan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030, Malaysia menyasarkan jualan kenderaan dielekrifikasi, termasuk hibrid mencapai sekurang-kurangnya 15 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) menjelang 2030, sebelum mencapai paras 38 peratus pada 2040. – Technode

Google ads
Back to top button