
MAA SERU KERAJAAN TERUSKAN INSENTIF UNTUK EV
PERSATUAN Automotif Malaysia (MAA) menyeru kerajaan meneruskan pemberian subsidi untuk kenderaan elektrik (EV) bagi merancakkan permintaan yang dilihat masih rendah dalam pasaran.
Menurut Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain, dengan meneruskan pemberian insentif sekali gus dapat memacu matlamat kerajaan agar EV merangkumi 15 peratus daripada jumlah kenderaan baharu menjelang tahun 2030.
“Bagi pihak industri automotif pastinya kami mahu kerajaan meneruskan pemberian subsidi untuk EV berikutan masih belum cukup momentum untuk melonjak permintaan terhadap kenderaan jenis itu.
“Malah pasaran juga memerlukan kesinambungan bagi memastikan impak jangka panjang yang lebih menyeluruh.

“Selain itu, ia akan membolehkan pengeluar merancang strategi pengeluaran masing-masing dengan lebih berkesan dan harapannya lebih banyak model baharu akan muncul dalam pasaran,” katanya pada sidang media anjuran MAA pada Rabu.
Beliau menambah, merujuk kepada Total Industry Volume (TIV) yang mewakili jumlah keseluruhan kenderaan baharu dijual di Malaysia, pada ketika ini jumlah asas hanya sekitar empat peratus bagi EV dan kira-kira 4.6 peratus bagi kenderaan hibrid.
Setakat ini, EV yang diimport sepenuhnya dari luar negara dikecualikan daripada duti import dan duti eksais sehingga 31 Disember 2025.
Sementara itu, bagi model yang dipasang secara tempatan menikmati pengecualian cukai sehingga akhir tahun 2027. – Sinar Harian