
VOLKSWAGEN MALAYSIA UMUM PEMENANG PERTANDINGAN FOTOGRAFI SHUTTER STORIES
Volkswagen Passenger Cars Malaysia bersama Fujifilm Malaysia telah menobatkan pemenang edisi pertama pertandingan fotografi Volkswagen Shutter Stories.
Pertandingan ini membuka ruang kepada rakyat Malaysia untuk mengekspresikan kreativiti mereka melalui lensa, berinspirasikan gaya hidup dan semangat jenama Volkswagen.
Hasanul Asyraf bin Hanafi, 35 tahun, dinobatkan sebagai pemenang utama dan membawa pulang hadiah berupa kamera serta lensa Fujifilm bernilai RM7,000. Lebih menarik, beliau turut menerima peluang bimbingan secara eksklusif bersama jurufoto profesional Aaron Lee serta kontrak setahun sebagai jurufoto rasmi untuk VPCM.

Di tempat kedua ialah Kelvin Ooi, 23 tahun, yang memenangi kamera Fujifilm instax Mini 99 lengkap bersama filem bernilai RM1,200. Tempat ketiga pula menjadi milik pelajar MMU berusia 19 tahun, Neeventhaa Perabagaran, yang menerima sebuah Fujifilm instax Pal beserta barangan eksklusif Volkswagen bernilai RM588.
Menurut Charles Lim, Pengurus Jenama VPCM, pertandingan ini bukan sekadar tentang mengambil gambar, tetapi sebagai satu cara untuk mengetengahkan hubungan emosi orang ramai terhadap jenama Volkswagen. “Volkswagen bukan hanya kenderaan, ia adalah tentang gaya hidup, kenangan dan perjalanan yang membentuk ikatan seumur hidup,” jelas beliau.
Tambah Charles, setiap gambar yang dihantar memberi gambaran pelbagai sisi kehidupan di Malaysia – penuh warna, penuh rasa dan semangat. “Kami benar-benar terinspirasi melihat bagaimana para peserta menzahirkan dunia mereka melalui lensa kamera,” katanya.

Thomas Kwan, Pengurus Kanan Jualan dan Pemasaran (Bahagian Pengimejan Elektronik & Instax) Fujifilm Malaysia turut menyatakan keterujaannya dengan kolaborasi ini. “Di Fujifilm, kami percaya setiap foto membawa cerita. Melalui pertandingan ini, kami dapat lihat bagaimana semangat Volkswagen diinterpretasi secara kreatif dan unik oleh setiap peserta.”
Pertandingan Shutter Stories ini dibuka kepada semua warga dan penduduk tetap Malaysia berumur 18 tahun ke atas.
Peserta diminta menghantar karya fotografi berdasarkan lima tema utama iaitu VW Love, VW Adventure, VW People, VW Motion, dan VW Life & Colours – dengan syarat sekurang-kurangnya dua daripada lima foto perlu menampilkan model kereta Volkswagen.
Lebih 30 penyertaan diterima menjelang penutup penyertaan, membuktikan sambutan yang amat menggalakkan bagi edisi pertama ini.

