
MAXUS T60 FACELIFT 2022. KIT PRESTASI PERCUMA, 155HP, RM116K
The Wester Group baru-baru ini memperkenalkan trak pikap Maxus T60 yang telah tambah baik ke pasaran tempatan. Model facelift itu dilihat dapat memberi lebih nilai menerusi rekaan maskulin dan pelbagai sistem keselamatan yang hadir sebagai ciri standard.
Untuk tempoh terhad, MAXUS T60 kini didatangkan dengan kit peningkat prestasi bernilai RM3,000 secara percuma. Kit MAXUS Performance mampu meningkatkan kuasa menjadi 155bhp pada 3,000rpm dan tork 425Nm pada 1,600-2,300rpm (sebelum ini 360Nm).
Enjin bagaimanapun masih sama iaitu 2.8 liter turbo diesel DOHC VGT yang mematuhi piawaian emisi Euro4. Kuasa itu disalurkan ke roda menerusi kotak gear automatik 6 kelajuan Punch serta sistem pacuan empat roda yang dikawal secara elektronik BorgWarner.

Sistem itu membolehkan pemandu menukar di antara mode 2H, 4H dan 4L ketika kenderaan sedang bergerak. Trak pikap itu berupaya mengangkut beban maksimum 815kg dan kapasiti menunda 3,000kg.
Aspek penggunaan bahan api juga lebih baik dengan 9.0 liter bagi setiap 100km berbanding 9.6l/100km sebelum ini. Dengan kapasiti tangki sebesar 75 liter, ia mampu bergerak lebih jauh sebelum perlu singgah di stesen minyak.
Maxus T60 kini hadir dengan gril hadapan dalam warna hitam matte dan rim bersaiz 17 inci. Pelanggan boleh memilih rim 19 inci dengan penambahan sebanyak RM3,000. Ketika dilancarkan, trak pikap itu menjadi model pertama dalam kelasnya yang menawarkan brek ventilasi depan belakang dan Tyre Pressure Monitoring System (TPMS).

Aspek keselamatan disempurnakan lagi dengan beg udara hadapan dan sisi, larasan automatik lampu utama, sensor belakang, kamera undur, dua cagak ISOFIX dan Blind Spot Information System (BLIS). Ciri-ciri lain seperti ABS, EBD, Traction Control, Brake Assist (BA), Hill Start Assist Control (HAS), Hill Descent Control (HDC) dan Roll Movement Intervention (RMI) turut ditawarkan.
Bahagian kabin pula dipertingkatkan menerusi kerusi hadapan yang boleh dilaras secara elektrik, 15 ruang penyimpanan barang dan kargo keseluruhan mencecah 1,188 liter.
Sistem infohibur yang menyokong ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto hadir bersama skrin HD bersaiz 10 inci. Stereng pula dilengkapi butang kawalan audio dan cruise control.
Ciri-ciri lain termasuklah butang penghidup enjin, pendingin hawa automatik, rak barang aluminium, roll-cage besi tahan karat, hendal pintu krom dan banyak lagi.

Maxus T60 ditawarkan pada harga bermula RM115,888 dan pelanggan akan diberi rebat sebanyak RM1,500 untuk semua tempahan dalam tempoh terhad. Ia didatangkan dalam warna hitam, merah, kelabu, putih, perak dan biru.
Jentera itu juga hadir dengan jaminan selama lima tahun dan perbatuan sejauh 130,000km. Pakej selepas jualan yang komprehesif pula merangkumi alat ganti dan kos buruh ditawarkan untuk empat tahun/80,000km.
- BACA: MAXUS LIFE HOME V90 VILLA EDITION. RV MEWAH ADA LIF, MESIN BASUH, SOFA DAN TV. HARGA RM1.68 JUTA
- BACA: TRAK PIKAP MAXUS T60. 2.8L TURBO DIESEL, 3 MODE PEMANDUAN, TPMS, RM99,888 SAHAJA
- BACA: PENCABAR VELLFIRE DARI CHINA. MAXUS G50. RM53K – RM95K
- BACA: MAXUS G10 SE – 10 TEMPAT DUDUK, RM153,412 SEUNIT
GALERI








