Buletin

WESTAR MAXUS BAKAL LANCAR TRAK PIKAP T60 KE PASARAN MALAYSIA PADA Q1 2019

Westar Maxus mengesahkan bahawa ia akan memperkenalkan trak pikap Maxus T60 ke pasaran tempatan menjelang suku pertama tahun depan.

Berita tersebut disahkan oleh Naib Presiden Kanan Kumpulan Westar, Dato’ Nik Hamdan Nik Hassan sewaktu pelancaran pusat 3S Westar Maxus di Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam.

Menurut Nik Hamdan, pengenalan Maxus T60 menjadi percubaan pertama Westar Maxus untuk meneroka pasaran trak pikap di Malaysia. Selain di Semenanjung, trak pikap tersebut bakal menjengah pasaran Malaysia Timur, terutama Sabah.

“Kami kini sedang dalam proses mendapatkan Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Jika tiada aral melintang, kami akan melancarkan T60 pada suku pertama tahun depan,” jelas Nik Hamdan.

Untuk makluman, Malaysia akan menjadi antara pasaran terawal yang menerima trak pikap tersebut di rantau ini. T60 ialah trak pikap pertama keluaran syarikat induk Westar Maxus, SAIC.

Melakukan debut pertama pada acara Guangzhou Motor Show 2016, T60 dikuasakan oleh enjin turbo diesel VM Motori empat selinder DOHC.

Enjin tersebut mampu menjana kuasa mencecah 150hp dan tork pada 1,600-2,800rpm. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear automatik atau manual enam kelajuan.

Dibangunkan di atas kerangka jenis ladder, T60 turut hadir dengan enjin petrol aspirasi biasa bersesaran 2.4 liter dan enjin turbo 2.0 liter. Pilihan enjin itu bagaimanapun khusus untuk memenuhi permintaan di kawasan pedalaman di China.

T60 dijadual dipasang di kilang Westar Maxus di Johor dan akan ditawarkan dengan harga yang kompetitif. Sebagai perbandingan, Maxus T60 berharga 99,800 yuan (RM61,000) hingga 213,800 yuan (RM130,000) seunit di China.

Google ads
Back to top button