Buletin

PENCABAR VELLFIRE DARI CHINA. MAXUS G50. RM53K – RM95K

Segmen MPV bersaiz penuh hari ini adalah berkenaan Toyota Vellfire dan Alphard. Di negara kita, ia menjadi raja jalanan dan hari ini ia tidak dicabar langsung oleh mana-mana pengeluar, baik dari Jepun, Korea atau Eropah.

Namakan sahaja apa spesifikasi yang anda nak. Dari yang berbajet rendah RM180K spesifikasi X, hinggalah ke varian empat kerusi ROyal Lounge yang berharga RM700,000 – lebih mahal dari sebuah Mercedes Vito yang paling mahal.

Walaupun didatangkan dari versi recond (yang laris berbanding versi UMW Toyota), pengguna sangat yakin dengan lencana Toyota. Jika melihat pada persaingan langsung, ia cuma dicabar oleh Hyundai Starex zaman dinasour dan Maxus G10.

Ya. Maxus, jenama China yang membeli LDV dari UK.

Sayangnya, Maxus ni walaupun besar, tapi rupanya sangatlah tak lawa. kotak simetri dan bulat yang tak tau hujung punca. Bagaimanapun Kekuatan model ini hanyalah harga jualannya sekitar RM140K.

Tapi di China, Maxus sudah hadir pengganti G10. Ia dikenali sebagai G50. Jenama yang bernaung di bawah syarikat Shanghai Auto (SAIC) ini dahulunya menumpukan kepada pembuatan van perdagangan, namun sejak beberapa tahun lepas sudah mula mengalihkan perusahaan mereka kepada kereta penumpang.

Dibandingkan dengan G10, G50 ini kelihatan jauh lebih moden dan sporty. Ia mempunyai garis badan gaya Jepun dan ruang dalaman gaya Eropah, papan instrumentasi bertingkat dan skrin LCD bersaiz mega.

Dan apa yang menarik tentangnya ialah harga jualan di China yang sangat menarik. Ia bermula dari 86.800 yuan hingga 156.800 yuan iaitu sekitar RM53K hingga RM95K sahaja. Bayangkan, model spesifikasi asasnya lebih murah dari sebuah Perodua Alza.

ENJIN DAN TRANSMISI

Sepertimana kereta-kereta moden China yang menggunakan enjin kecil dengan pendesak turbo, Maxus G50 juga tindak ketinggalan. Lebih mengejutkan, varian asas dipadankan dengan enjin sekecil 1.3L turbo yang berkuasa 150 kuasa kuda dan 220Nm tork. Ia digandingkan dengan transmisi manual enam kelajuan.

Varian lebih tinggi dipadankan dengan enjin 1.5L turbo berkuasa 162 kuasa kuda dan 250Nm tork dan digandingkan dengan transmisi DCT tujuh kelajuan.

G50 didatangkan dengan beberapa konfigurasi tempat duduk. Ia boleh dilaras menjadi susunan 2+3, 2+2+2, 2+2+3, 2+3+2, atau 2+3+3. dimensi sebenar MPV ini ialah 4825mm × 1825mm × 1778mm dan titik rodanya ialah 2800mm.

Sebagai perbandingan, dimensi sebuah Toyota Vellfire ialah 4935mm X 1850mm X 1950mm. G100 100mm lebih pendek, 25mm lebih kurus dan 172mm lebih rendah.

Apa yang boleh kami katakan, bahagian dalamannya nampak sangat menarik, kalau dibandingkan dengan kereta jenama China dalam kelasnya. Ia nampak elegan dengan susunan skrin sebesar 12.3 inci.

Rekaan konsol gear, kelongsong pendingin hawa, dan bentangan meternya memang nampak moden. Ya. gugusan meter digital G50 ini jauh lebih cantik kalau dibandingkan terus dengan panel Vellfire.

Dari segi luaran, ia nampak moden dan menampilkan ciri-ciri tipikal kenderaan China hari ini iaitu mereka semua berlumba nak buat grill paling besar.

Jika dilihat dari perspektif sisi, ia kekurangan sesuatu berbanding kepakaran pereka Jepun. Anda boleh lihat, panel hud depan lebih panjang berbanding rekaan MPV saiz penuh seperti Vellfire, Alphard, Elysion, Elgrand dan Estima.

Dan apa yang pasti, jika bercakap soal ruang, pereka Jepun lebih handal dalam menjadikan kabin sangat luas, apatah lagi bagi sebuah MPV saiz penuh.

Masuk Malaysia tak ni?

Memandangkan ia baru sahaja dilancarkan, kami tak rasa ia akan dibawa masuk dalam masa terdekat. Westar Auto, pemegang jenama Maxus di Malaysia mungkin boleh pertimbangkan model ini dan gantikan segera G10 di pasaran.

Dan lihat hasilnya. Kalau boleh jual saing-saing Hyundai Starex pun, taklah teruk sangat.

Tapi memang MPV ni nampak cantik lah.

KREDIT FOTO: CARNEWSCHINA

GALERI

Google ads
Back to top button