Buletin

MAXUS LANCAR MINIVAN V70, PESAING KEPADA FORD TRANSIT KUSTOM

Di pasaran China, Maxus baharu sahaja melancarkan sebuah model minivan V70 yang diposisikan sebagai pesaing rapat kepada van kargo seperti Ford Transit Custom, VW Transporter dan Citroen Spacetourer.

Menggunakan platform serba baharu, Maxus V70 nyata membawakan rupa paras yang lebih moden, namun tidak sefuturistik Hyundai Staria.

Maxus V70 mempunyai ukuran sepanjang 4,998 mm, lebar 2,030 mm, tinggi 2,035 dengan jarak antara roda sepanjang tiga meter.

Laporan media tempatan menyebut Maxus V70 ini juga bakal didapati dalam versi bumbung yang lebih tinggi serta jarak antara roda yang lebih panjang.

Dari segi luaran, Maxus V70 membawakan ciri seperti lampu LED matriks, unit lampu tambahan pada bahagian bawah bampar, pintu gelangsar, serta lampu belakang LED yang panjang menegak.

Maxus tidak mendedahkan gambar susun atur ruang kabin, namun mengesahkan V70 bakal dilengkapi dengan ciri seperti skrin infotainmen jenis tablet, kunci Bluetooth, pemanas tempat duduk hadapan, pemanas stereng, serta konfigurasi tempat duduk yang boleh memuatkan lima, enam atau sembilan penumpang pada satu-satu masa.

Dari segi kuasa, Maxus V70 dipadankan dengan enjin 2.0 liter diesel turbo yang mampu menghasilkan 125 hp, transmisi automatik sembilan nisbah kelajuan serta keupayaan mencapai kelajuan tertinggi 156 km/j.

Terdapat kemungkinan Maxus akan memasarkan model V70 ini di luar pasaran China, bermula tahun hadapan.

Google ads
Back to top button