MAZDA RX-7 “OYEN” 2 FAST 2 FURIOUS BAKAL DILELONG – YANG NI MURAH SIKIT KOT
Sewaktu 2 Fast 2 Furious dilancarkan, kaki-kaki kereta masih teruja dengan penampilan kereta-kereta JDM dari filem yang pertama keluaran tahun 2001. Antara kereta-kereta yang menjadi kegilaan dan tumpuan ramai ialah RX-7 seperti ini. Masa tu pun harganya masih lagi mampu milik. Sekarang tok sah dok berangan la. Harga banglo kat Triang baru dapat RX7 Efini ni.
RX-7 yang dipaparkan ini mungkin tidak sepopular Skyline R34 yang digunakan oleh Paul Walker tapi ia masih mempunyai tempat di hati peminat macam kami ni. Dalam babak pertama perlumbaan antara empat buah kereta, is dipandu oleh Amaury Nolasco yang membawakan watak jejaka sombong “Orange Julius” (eleh, kalau sekarang sahih orang panggil “Oyen” je ni). Ia berada di garisan permulaan sebaris dengan R34 GTR, S2000 merah jambu (auww) dan Supra berwarna emas.
Kini kereta yang sama bakal dilelong kepada mereka yang berminat oleh Mecum Auctions.
Okey sebagai tambahan nota sejarah, kereta ini sebenarnya turut digunakan dalam filem pertama (The Fast and The Furious). Ia merupakan salah satu dari lima unit RX-7 dengan bodykit Veilside yang disediakan untuk Dominic Toretto. Ia kemudian diubahsuai supaya kelihatan berbeza untuk filem kedua dan menurut Mecum sebanyak USD40k telah dihabiskan untuk kereta ini.
Serius cakap la, kit luaran kereta ini memang tak menarik langsung kalau dibandingkan dengan RX-7 versi Toretto ataupun versi Han dalam filem Tokyo Drift (dah namanya pun watak pembantu). Namun kena ingat ia masih merupakan salah satu artifak bersejarah F&F.
Selain warna oyen sempena nama watak pemandunya, kereta ini turut mempunyai bodykit keluaran Versus yang menaikkan sedikit serinya selain rim-rim 5 jejari bersaiz 18 inci keluaran Ro_Ja.
Walaupun luaran nampak sedikit ganas tapi enjinnya masih dalam keadaan standard. Okey ni, mana nak dapat RX-7 dengan enjin standard zaman sekarang ni. Ramai yang kemaruk nak jadi Takahashi Keisuke kan? Padahal seluar pun pakai saiz 60.
Apa lagi duit raya ada lebih lagi tak? Kira on je lah.