" "
Buletin

MEKANIK PANDU SECARA BERBAHAYA DAN AKIBATKAN KEMALANGAN DIPUKUL 3 LELAKI

Seorang lelaki dipukul tiga individu kerana memandu kereta secara melulu dan berbahaya hingga mengakibatkan kemalangan di Lebuh raya Pasir Gudang, Johor, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam kejadian jam 6.05 petang, kereta yang dipandu oleh seorang lelaki yang juga mekanik berusia 24 tahun melanggar sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki berusia 30-an.

Pelanggaran itu menyebabkan motosikal tersebut kemalangan.

“Pada masa sama tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta berada di belakang kenderaan yang dipandu lelaki terbabit menyaksikan kejadian itu.

“Ketiga-tiga lelaki yang berusia antara lingkungan 25 hingga 31 tahun itu kemudian keluar dari kereta sebelum memukul pemandu kereta terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Jelas Raub, tiga lelaki berkenaan dikatakan berang dengan perbuatan pemandu yang memandu secara berbahaya. Ketiga-tiga suspek berkenaan tidak mengenali penunggang motosikal atau pemandu kereta berkenaan.

“Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan meminta individu yang terbabit supaya tampil ke IPD berkenaan untuk diambil keterangan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut boleh terus menghubungi talian hotline IPD tersebut 07-2182323 atau Pegawai Penyiasat Inspektor S Sivakumaran menerusi talian 019-5127410,” katanya.

Kes kemalangan disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59), manakala kes pukul mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, video kejadian tersebut berdurasi 33 dan 22 saat itu tular dalam media sosial sejak semalam. Video tersebut menunjukkan tiga orang lelaki memukul suspek di tengah jalan Lebuh raya Pasir Gudang, sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas. – Berita Harian

Google ads
Back to top button