Buletin

ALAMI TEKANAN JIWA, MEKANIK MAUT BAKAR DIRI DALAM PROTON WIRA

Seorang mekanik ditemukan maut terbakar bersama Proton Wira miliknya dipercayai kerana membunuh diri dalam kejadian di jalan pintas Kampung Gong Kassim-Pulau Rusa di Merchang, Marang Terengganu semalam.

Kejadian kira-kira pukul 8.40 malam itu menyebabkan lelaki berusia 34 tahun berkenaan melecur hampir 80 peratus.

Sebelum itu, pasukan polis menerima laporan lelaki yang beristeri dua tersebut ditemui terbaring dalam keadaan terbakar tidak jauh dari kereta Proton Wirayang terbakar sepenuhnya berhampiran sebuah kebun getah.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Zain Mat Dris berkata, mangsa yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak itu bagaimanapun meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu, pada pukul 5.30 pagi ini.

Berdasarkan maklumat ahli keluarga, mangsa difahamkan mengalami masalah tekanan jiwa yang serius sejak lapan bulan lalu, namun enggan mendapatkan rawatan walaupun sudah diarahkan doktor.

“Keluarga tidak menolak kemungkinan mangsa membeli minyak lalu mencurahnya dalam kenderaan sebelum membakar diri.

“Mereka juga yakin tiada pihak lain terlibat dalam kejadian kebakaran itu, sebaliknya dilakukan oleh mangsa sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd. Zain berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan bedah siasat akan dilakukan pada hari ini. – Utusan Malaysia 

Google ads
Back to top button