Motosikal

MEKANIK MOTOSIKAL LIMA BERANAK TINGGAL DALAM BENGKEL USANG SEJAK 10 TAHUN LALU

Kemiskinan menyebabkan lima beranak terpaksa mendiami bengkel motosikal di Kampung Parit 5 Gambut, Sungai Panjang, Selangor sejak 10 tahun lalu.

Lebih menyedihkan, tempat berteduh buat mekanik motosikal, Zainal Abidin Mohamed, 38, isterinya, Sri Idayu Sabran, 34, serta tiga anak berusia dua hingga 10 tahun itu pula menunggu rebah akibat dimakan anai-anai. Malah ketiga-tiga anak pasangan suami isteri itu pernah disengat lipan beberapa kali sebelum ini.

Bercerita lanjut, Zainal Abidin berkata, dia melakukan dua pekerjaan iaitu membaiki motosikal pada waktu siang bersama anak buah dan menangkap belut pada sebelah malam.

Semua itu dilakukan demi menyara keluarganya. Dia juga perlu berusaha keras kerana dua daripada tiga anak sudah bersekolah, selain perlu menjaga ibu (Aminah Ismail, 79) yang sakit darah tinggi dan tidak boleh berjalan.

“Tetapi disebabkan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pendapatan saya tidak menentu hingga menyebabkan saya tidak dapat membayar bil elektrik dan air,” katanya ketika dikunjungi Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Parit 5 dan 6 Gambut, Mas Lina Husein.

Justeru, Zainal Abidin berharap ada pihak yang sudi menawarkan kediaman yang selamat dan selesa untuk membesarkan ketiga-tiga anaknya.

“Dahulunya bengkel ini adalah rumah pusaka. Namun ia terpaksa diubah suai menjadi bengkel motosikal bagi menyara keluarga,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun Bank Islam (12056022663230) di atas nama Zainal Abidin Mohamed atau menghubunginya di talian 017-3596683.

Menurut Mas Lina, kesusahan dihadapi Zainal Abidin sekeluarga sememangnya dalam perhatian pihaknya. Dia berharap pihak berwajib dapat tampil membantu keluarga itu dengan memberikan sebuah rumah demi keselesaan anak-anak. – Harian Metro 

Google ads
Back to top button