Motosikal

HIBBATUULAH MEKANIK PERTAMA MALAYSIA GALAS TUGAS DI MOTOGP

Hibbatuulah M Fuad bakal menggalas tugas sebagai mekanik nombor tiga bersama pasukan MotoGP 2022, RNF Racing yang 100 peratus dimiliki Datuk Razlan Razali.

Tugas baharu Hibbatuulah ini bakal menjadikan dirinya sebagai mekanik sulung dari Malaysia yang bekerja dalam kelas utama di Kejuaraan Motosikal Dunia iaitu MotoGP.

Pada masa ini, Hibbatuulah atau dikenali sebagai Habib menggalas tanggungjawab membantu pasukan Moto2 PETRONAS Sprinta Racing, bakal membantu pasukan bagi penyediaan motosikal buat pelumba ‘rookie’, Darryn Binder untuk saingan kelas MotoGP musim depan.

“Bagi saya, Habib sememangnya layak untuk diberikan peluang ini dan saya amat berbangga dengan cara dia bekerja selama tiga, empat tahun ini.

“Dia seorang individu yang bekerja keras, menepati masa, suka membantu dan kalau dibandingkan dengan mekanik lain, dia ini seorang mekanik yang bagus selepas bermula dari bawah sehingga ke MotoGP.

“Saya amat berbangga untuk mengambil Habib, seorang mekanik MotoGP Melayu, Malaysia yang ada di Kejuaraan Motosikal Dunia.

“Tugasan mekanik nombor tiga adalah membantu mekanik nombor satu dan dua. Jadi, apa-apa yang berkaitan dengan motosikal, ketiga-tiga inilah yang akan bertanggungjawab. Yang membezakan dua dan tiga hanyalah pengalaman saja.”kata Razlan yang juga prinsipal pasukan RNF Racing.

Dalam pada itu, Razlan turut memberitahu yang pengarah pasukan ketika ini yang juga rakan kongsinya, Johan Stigefelt tidak lagi akan bersama pasukan pada musim depan.

“Kami berada dalam situasi berbeza, jadi kami bersependapat antara saya dan Stigefelt untuk berpisah. Ini kerana sudah tiba masanya untuk saya dan dia membawa hala tuju masing-masing selepas tujuh tahun bersama.

“Saya akan meneruskan cabaran dengan MotoGP manakala dia akan melakukan perkara baharu yang masih lagi dalam komuniti MotoGP,” kata Razlan. – BH

Google ads
Back to top button